KUALA LUMPUR - Sebanyak empat pemimpin industri hari ini memeterai sijil kerjasama (CoC) dengan Kementerian Pendidikan untuk menaik taraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Empat syarikat itu ialah Berjaya Corporation Bhd, Tropicana Corporation Bhd, Naza Group dan Top Glove Corporation Bhd.
Kerjasama tersebut akan menekankan penyediaan latihan, kemudahan, bengkel, rangkaian dan peluang kerjaya kepada pelajar TVET.
Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corp, Datuk Seri Tan Yeong Ching berkata, kumpulan melihat kerjasama itu sebagai perkongsian pintar yang akan menyediakan platform kepada pelajar pelbagai institusi untuk mendapatkan pengalaman kerja sebenar dan peluang kerjaya.
"Memperluaskan perkongsian pintar seperti melalui kerjasama ini akan membantu memastikan perkongsian pengetahuan dan amalan industri, kemudahan dan teknologi, dengan hasrat untuk meningkatkan pelajar teknikal dan vokasional,” katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian CoC di sini hari ini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam ucapan berkata, TVET penting untuk mengurangkan ketidaksepadanan dalam penawaran dan permintaan kemahiran, masa depan pelajar terhadap Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
"Bagaimanapun, usaha negara yang lebih besar diperlukan untuk meningkatkan pendaftaran TVET dan mempercepatkan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan, yang memerlukan kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh dengan pemimpin industri.
"CoC ini melambangkan langkah besar yang diambil oleh sektor awam dan swasta untuk membawa TVET ke peringkat lebih tinggi. Kementerian komited untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama, bukan sahaja untuk TVET, tetapi juga untuk menambah baik seluruh ekosistem pendidikan negara,” katanya.
Katanya, beliau juga sedang berunding dengan syarikat utama dalam semua sektor ekonomi, menyatakan empat syarikat minyak dan gas dari Johor dan Perak serta beberapa institusi kewangan dan perbankan yang komited untuk bekerjasama dengan kementerian. - Bernama