Nelayan Pulau Pinang tetap bantah projek tambakan laut

Iklan
Nazri (tengah) menegaskan nelayan tetap dengan pendirian mereka iaitu membantah PSR di selatan Pulau Pinang.
BAYAN LEPAS - Nelayan di negeri ini kecewa apabila digambarkan seolah-olah bersetuju dengan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) sekiranya diberi pampasan setimpal.

Pengerusi Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara), Nazri Ahmad berkata, nelayan Pulau Pinang masih dengan pendirian mereka iaitu menolak projek berkenaan dijalankan.

Menurutnya, mereka juga tidak berminat dengan pampasan yang disifatkan tidak setimpal untuk jangka masa panjang.

"Kami amat kecewa dengan kenyataan kerajaan negeri, seolah-olah nelayan akan terima projek itu sekiranya diberi pampasan setimpal. Kami masih dengan pendirian kami dan sebulat suara menolak PSR.

"Kami tidak berminat pun dengan pampasan kerana ia tidak berbaloi untuk jangka masa yang panjang. Kami tidak mahu ditimpa nasib yang sama seperti rakan-rakan lain di Tanjung Tokong selepas kawasan tersebut ditambak," katanya pada sidang media tadi.

Beliau mengadakan sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama nelayan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Batu Maung, di sini.

Nazri berkata, mereka memohon kerajaan negeri menerima cadangan yang diterjemahkan melalui Pelan Transformasi Nelayan yang diserahkan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow Mei lalu.

"Sekiranya bantahan kami tidak mampu menghalang projek itu daripada diteruskan, kami berharap kerajaan negeri menerima cadangan kami seperti yang terkandung dalam Pelan Transformasi Nelayan.

"Saya boleh katakan semua nelayan di negeri ini tidak bersetuju dengan projek tambak laut itu kerana akan memusnahkan sumber ikan dan ia akan menjejaskan pencarian serta rezeki kami.

"Itu adalah tujuan kami berarak ke Parlimen baru-baru ini bagi menunjukkan kesungguhan kami menolak cadangan tambak laut ini sepenuhnya, bukannya mendesak mahu diberi pampasan," katanya.

Nazri berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa laporan yang diterbitkan beberapa pihak termasuk portal berita yang menggambarkan nelayan Pulau Pinang bersetuju dengan PSR sekiranya mendapat pampasan setimpal.

Dalam perkembangan sama, Nazri berkata, mereka berharap dijemput ketika sesi taklimat secara menyeluruh bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti.

"Wakil nelayan sebelum ini tidak pernah dipanggil untuk turut serta dalam sebarang pertemuan atau rundingan rasmi berhubung rancangan projek itu termasuk dalam soal kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Itu yang membuatkan kami terkilan apabila JAS meluluskan EIA projek ini tanpa memanggil nelayan. Kami ini seolah-olah tidak penting selain projek ini seperti langsung tidak melibatkan masa depan kami," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang akan mengaturkan taklimat secara menyeluruh mengenai PSR kepada Anwar bagi membolehkan penjelasan mengenai projek itu diadakan.

Minggu lalu, Kerajaan Pulau Pinang menerima surat kelulusan untuk melaksanakan projek PSR daripada JAS yang mana, ia disusuli dengan 72 syarat yang perlu dipenuhi sebelum projek tambakan tersebut dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantah projek tambakan laut