KUALA LUMPUR - Sebuah tren kargo membawa muatan simen tergelincir berhampiran Stesen Rawang hari ini mengakibatkan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS), KTM Komuter dan KTM Kargo di laluan itu terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin berkata tren kargo dalam perjalanan dari Tasek, Perak menuju ke Sungai Buloh, Selangor terbalik ketika melalui landasan di KM356.016 pada pukul 5.38 petang.
"Landasan tunggal di antara Rawang dan Kuang terhalang sepenuhnya susulan insiden itu dan pemandu serta pembantu (tren kargo) tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Lapan daripada 30 gerabak dengan muatan simen itu telah tergelincir manakala 22 gerabak dan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Pihak KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja mengalih gerabak yang terbalik daripada landasan bagi memastikan landasan tunggal itu boleh dilalui semula oleh tren-tren lain secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rani berkata para penumpang KTM Komuter di antara laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim, perkhidmatan itu akan ditamatkan di Stesen Sungai Buloh dan di Stesen Serendah.
"Tiada perkhidmatan tren di antara laluan Stesen Sungai Buloh dan Stesen Serendah,” katanya.
Beliau berkata KTMB menyediakan bas-bas perantara bagi semua penumpang untuk meneruskan perjalanan ke Sungai Buloh, Rawang dan Serendah.
"Para penumpang ETS yang menuju ke destinasi di antara Stesen KL Sentral dan Stesen Tanjung Malim turut disediakan bas-bas perantara untuk meneruskan perjalanan mereka,” katanya menambah tiada perkhidmatan tren ETS bagi laluan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang www.ktmb.com.my dan saluran media rasmi KTMB di Facebook KTM Berhad atau melalui Pusat Panggilan KTMB di 03-22661200. - Bernama