Ajal jemput isteri pulang kerja

Iklan
Razali yang dalam perjalanan menjemput isteri maut dalam kemalangan di Kampung Kok Keli manakala seorang lagi penunggang lain cedera. - Foto IHSAN PEMBACA

TUMPAT - Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan motosikal lain di jalan Kampung Kok Keli, Palekbang di sini hari ini.

Mangsa, Razali Ishak, 64, dari Kampung Kok Keli di sini maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa dalam perjalanan mengambil isteri dari tempat kerja di kilang serunding.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa membelok ke kanan untuk masuk lorong jalan pintas ke Kampung Berlian.

Iklan

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dari Kampung Gerong dirempuh motosikal lain dari arah bertentangan.

"Motosikal yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun cuba membrek tetapi gagal disebabkan jarak yang dekat.

Iklan

"Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya," katanya dihubungi hari ini.

Ab Rashid berkata, warga emas terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang sebuah motosikal lagi cedera di kepala dan patah kaki kiri.

"Mangsa yang cedera dirujuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.