Selamat mengundi remaja 18 tahun

Iklan
Gambar hiasan

PARLIMEN Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri pada Selasa lalu apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Ada banyak perkara yang menarik tentang kelulusan pindaan ini. Pertama, pindaan menurunkan had umur mengundi ini akan menyaksikan landskap politik negara bakal berubah hampir 360 darjah.

Iklan
Iklan

Anak muda selepas ini bakal menjadi titik fokus ahli politik. Anak muda akan menjadi rebutan banyak parti politik untuk memastikan kemenangan ke Putrajaya.

Keduanya, pindaan tersebut diiringi dengan pindaan lain iaitu berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Iklan

Pendaftaran secara automatik ini akan menyaksikan seramai 7.8 juta pengundi baru didaftar dalam senarai Suruhanjaya Pilihan Raya sehingga 2023.

Ini bermakna jumlah pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan melonjak daripada 14.9 juta kepada 22.7 juta pada tahun 2023.

Iklan

Dengan majoriti pengundi masih dalam usia muda, maka undi golongan ini sangatlah penting. Jika satu undi boleh membawa perubahan, bayangkan dengan pertambahan 7.8 juta undi baru ini.

Namun menariknya dengan pindaan terbaru itu juga, jangan terkejut jika rekod Ahli Parlimen termuda yang dipegang P Prabakaran, 22, boleh terpadam jika ada remaja berusia 18 tahun berani menawarkan diri dan menang pada PRU15 nanti.

Kisah kejayaan pindaan ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada blok pembangkang.

Dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih segar daripada trauma usul pindaan perlembagaan Sabah dan Sarawak ditolak, usul undi 18 tahun mesti menjadi satu misi berjaya.

Maka tidak hairanlah, kerajaan minggu lalu mengambil sikap toleransi menarik balik pembentangan pertama usul undi 18 tahun untuk memasukkan dua cadangan baru seperti yang disyarat blok pembangkang untuk memberi sokongan.

Strategi toleransi PH dengan pembangkang ternyata berbaloi apabila usul tersebut mendapat sokongan majoriti.

Pasti ramai yang tidak sabar untuk melihat impak daripada pindaan ini. Bagaimana corak pemilihan remaja 18 tahun? Siapakah yang bakal mendapat paling banyak manfaat atau sokongan?