JERTIH- Durian daripada Besut bukan calang-calang kualitinya malah dikatakan setanding dengan raja buah dari beberapa kawasan di negara ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Fauzi Mohamed berkata, isi durian kampung Besut lebih enak dan berkualiti.
"Isinya tebal, lemak dan manis termasuk ulasnya berwarna kuning menyebabkan yang memang dinantikan penggemar durian," katanya.
Fauzi berkata, raja buah dari kebun milik Kamaruddin Che Omar di Kampung Pengkalan Sentul dekat Seberang Jertih terpilih untuk dibawa ke Program Durian Day yang akan berlangsung di pekarangan Ibu Pejabat FAMA Terengganu, Kuala Terengganu pada 7 Ogos depan.
"Siri jelajah ke beberapa pasar tani di negeri ini telah diadakan dan mendapat sambutan baik orang ramai,” katanya kepada pemberita ketika melawat kebun durian milik Kamaruddin, 61, di Pengkalan semalam.
Hadir sama pegawai kanan FAMA negeri dan Pegawai FAMA Besut, Abd Rashid Che Muda.
Fauzi berkata, sebanyak 30 hingga 40 metrik tan durian kampung dan klon akan dijual pada program tersebut termasuk dari Perak, Kedah, Pahang dan Johor.
Menurutnya jualan pada harga istimewa antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran.
"Kita juga bercadang menjual satu plastik dengan harga RM20 namun bergantung kepada bekalan. Orang ramai juga boleh membeli manggis dan petai,” katanya.
Fauzi berkata, durian Terengganu dan Kelantan dijangka gugur dalam jumlah yang banyak pada awal bulan depan dan dijual dengan harga RM4 atau RM5 ke atas bagi sekilogram.