Pemandu lori rentung: Tiada unsur jenayah

Iklan
lori2
JOHOR BAHRU - Kejadian kebakaran membabitkan sebuah lori muatan diesel dan kilang memproses makanan di Taman Mount Austin sebentar tadi dinafikan terdapat unsur jenayah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, kebakaran tersebut dipercayai berpunca akibat percikan api dan berlakunya kebocoran minyak pada kenderaan itu.

"Tiada unsur jenayah, kebakaran disyaki berlaku akibat percikan api dan kebocoran sewaktu proses pemindahan minyak dilakukan.

"Siasatan dijalankan berdasarkan laporan kebakaran yang diterima,” katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

Mohd Afzanizam berkata, kebakaran itu juga turut mengakibatkan kematian seorang lelaki dipercayai pemandu kepada lori muatan diesel tersebut.

Selain itu, katanya, seorang lelaki iaitu pemilik kilang berkenaan berusia 54 tahun turut tercedera yang mana kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail kerana melecur.

"Polis klasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut,” katanya.