Video intim: Polis janji siasatan telus

Iklan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tidak akan melindungi kepentingan mana-mana pihak dalam isu video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan, siasatan polis sentiasa berpaksikan kepada ketelusan dan keadilan dan prosedur operasi standard (SOP) tanpa melindungi pihak tertentu.

Iklan
Iklan

"Ada yang mendesak untuk diberikan tempoh masa selesaikan kes namun tidak semudah itu untuk disiasat dalam tempoh seminggu atau dua minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Bicara Politikonomi yang disiarkan RTM melalui TV1, malam tadi.

Iklan

Menurutnya, orang ramai perlu faham apabila kertas siasatan lengkap, ia akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Beliau sendiri mengakui wujudnya tekanan yang mahu siasatan kes tersebut disegerakan.

Iklan

Mengenai ketulenan video itu Abdul Hamid menjelaskan, PDRM tidak diberi kuasa undang-undang untuk mengesahkan ketulenan video atau identiti pelaku.

"Itu bukan tanggungjawab polis, kita ada SOP dalam jalankan siasatan.

"Sebarang bukti akan jadi subjek dalam perbicaraan sekiranya ia dibawa ke mahkamah. Saya tidak boleh memandai-mandai dalam perkara itu,” jelasnya

ARTIKEL BERKAITAN: Hamid Bador nafi polis cuba tutup kes video intim

Video intim: Polis perluas skop siasatan

Sementara itu, mengenai isu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang masih gagal dibawa pulang ke negara ini, Abdul Hamid mengakui ia berlaku disebabkan masalah teknikal.

"Ada masalah teknikal sedikit. Bagaimanapun, kita sedang giat berunding dengan negara berkaitan yang menjadi lokasi persembunyian Jho Low.

"Jho Low adalah seorang penjenayah, beliau harus pulang menghadapi proses perundangan negara ini,” kata Abdul Hamid.

Abdul Hamid berkata, pihak polis sentiasa memberikan jaminan bahawa Jho Low tidak akan menjadi mangsa penganiayaan selepas pulang ke negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jho Low dibawa balik dalam masa terdekat

Di manakah Jho Low berada?

Pada 7 Julai lalu, Abdul Hamid memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berunding dengan pihak berkuasa negara di mana Jho Low ataupun nama sebenarnya, Low Take Jho bersembunyi bagi membawa pulang individu berkenaan yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, rundingan dengan pihak berkuasa negara itu perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati bagi memastikan ia tidak tersilap langkah.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan tempoh tertentu untuk rundingan itu berjaya, namun memberi jaminan Jho Low pasti akan dibawa pulang.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak boleh menjamin kepulangan Jho Low, namun sekiranya PDRM memberitahu dia sudah ‘dekat’ maknanya ia mungkin akan pulang tidak lama lagi.