MARANG - Pemuda Pas Terengganu menyambut baik kelulusan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda Pas Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, ini menunjukkan kesungguhan pemimpin negara untuk melihat pembangunan belia menjadi suatu agenda khusus untuk diutamakan.
Katanya, di sebalik keputusan itu baik dari sudut positif atau sebaliknya, Pemuda Pas Terengganu terus dengan sikap mempercayai potensi besar yang ada dalam diri belia seawal umur mereka 18 tahun.
"Sekiranya mereka disiapkan dengan kaedah yang betul tidak mustahil Malaysia pada masa akan datang diterajui oleh mereka yang masih muda dengan idea-idea segar dan semangat yang berkobar-kobar.
"Pemuda Pas Terengganu juga komited untuk bersama-sama membangun jiwa-jiwa belia negara ini dengan acuan Islam yang syumul," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kini adalah masa untuk bekerja keras bagi mengisi ruang kehidupan belia dengan ilmu, iman dan amal.
Namun katanya, semua pihak perlu berganding bahu untuk mengambil peranan itu demi melihat belia di Malaysia menjadi aset terpenting dalam pentadbiran dan pembangunan negara ini.
"Saya menyeru kepada semua Pemuda Pas Terengganu di semua peringkat supaya menggerakkan segala daya dan usaha dalam menawan hati pengundi 18 tahun ini dengan acuan Islam yang sebenar.
"Saya amat yakin mereka juga melihat isu ini sebagai satu peluang terutamanya dalam bidang penerapan ilmu siasah kepada belia, bak kata pepatah kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda UMNO sambut baik pindaan had umur