Sindiket ah long tumpas

Iklan
Hasbullah menunjukkan enam suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Perak dan Selangor pada sidang media di IPK Perak hari ini.

IPOH - Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long apabila menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di sebuah kondominium di Serdang, Selangor kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Hasbullah Abd Rahman berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi operasi khas yang ditubuhkan selepas menerima laporan mangsa pada 28 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil risikan selama dua bulan mendapati sindiket yang disertai ahli berusia 24 hingga 34 tahun itu bergerak secara rawak sekitar Perak, Selangor, dan beberapa negeri lain.

"Modus operandi ini didapati menggunakan cat merah dan cat sembur warna merah bagi menyimbah dan menconteng rumah mangsa dengan tujuan menakutkan mangsa yang gagal melunaskan hutang.

Iklan

"Sindiket ini juga bertindak merantai rumah peminjam yang gagal membayar mengikut masa selain meninggalkan nota berbaur ugutan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini

Hasbullah (tiga dari kanan) menunjukkan rantai besi yang digunakan sindiket berkenaan untuk merantai pagar rumah mangsa.

Hasbullah berkata, siasatan mendapati sindiket yang dipercayai aktif sejak setahun lalu memberi pinjaman wang kepada mangsa menerusi perbankan dalam talian.

Iklan

"Polis merampas telefon bimbit pelbagai jenama, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), botol sembur cat warna merah dan hitam, penutup muka, rantai besi, mangga, kabel pengunci, komputer riba dan dokumen.

"Hasil siasatan mendapati sindiket ini mempunyai 15 kes di Perak dan empat kes di Selangor. Bagi negeri lain, ia masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, kesemua tangkapan direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.