KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia perlu bersatu hati dan berganding bahu menentang sebarang bentuk usaha mengkucar-kacirkan keharmonian dalam negara.
Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Hasri Harun melahirkan kebimbangan rusuhan kuil baru-baru ini mampu menggugat usaha membangunkan Malaysia yang berbilang kaum, mematuhi dan menghormati undang-undang.
Menurutnya, lebih malang apabila tindakan sedemikan seolah-olah mempertahankan hak pihak tertentu dan mengetepikan hak majoriti rakyat.
"Wadah juga melahirkan kebimbangan terdapat pihak-pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dan mencetuskan ketidaktentuan dengan menggunakan media bagi menimbulkan kebimbangan masyarakat.
"Rakyat harus dididik dengan sikap hormat menghormati, akur dengan peraturan negara dan menyalurkan rasa tidak puas hati melalui ruang yang diberikan oleh pihak kerajaan, bukan dengan tindakan yang merugikan rakyat dan negara.
"Kematian anggota bomba, Allahyarham Muhamad Adib Mohd Kassim adalah satu tragedi yang boleh dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, Hasri menggesa pihak berwajib menyiasat kes kematian Muhammad Adib dengan teliti, telus serta menyeluruh dan menangani kes tersebut sebaiknya.
‘Wadah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak bertanggungjawab ini dan menggesa pihak berkuasa membawa mereka yang bersalah kemuka pengadilan.
"Wadah berpandangan tragedi seperti ini adalah suatu yang amat mendukacitakan dan tidak sewajarnya berlaku terhadap seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
"Masyarakat tidak seharusnya mengambil jalan mudah bagi mencapai sebarang tujuan dengan mengetepikan peraturan, undang-undang dan sensitiviti masyarakat dan agama,” tegasnya.
Selepas 21 hari bertarung nyawa setelah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Putra Heights, akhirnya Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lepas.
Pemergiannya meruntun hati rakyat Malaysia, ramai mendesak agar pembunuh anggota bomba itu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukum setimpal.
Malah, beberapa pihak juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan kerana dianggap gagal menjalankan tugasnya dengan baik.