IWK nafi sisa kumbahan punca pencemaran Sungai Kayu Ara

Iklan
IWK menafikan loji kumbahan di bawah seliaannya menjadi punca pencemaran di Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya hingga menyebabkan ribuan ikan mati.

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menafikan loji kumbahan di bawah seliaannya menjadi punca pencemaran di Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya yang menyebabkan ratusan ikan mati dalam sungai tersebut.

Jabatan Komunikasi Korporat IWK dalam satu kenyataan berkata, semua loji rawatan kumbahan di bawah seliaannya yang beroperasi berdekatan sungai tersebut berada dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini beberapa laporan media mengaitkan IWK sebagai punca pencemaran ekoran penemuan ratusan ikan yang mati di sungai tersebut.

"Merujuk kepada beberapa laporan media mengenai pencemaran di Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya baru-baru ini, IWK menafikan sebarang kenyataan yang membabitkan IWK sebagai punca pencemaran.

Iklan

"Terdapat enam loji rawatan kumbahan berdekatan Sungai Kayu Ara, hanya satu yang melepaskan efluen terawat kepada sungai tersebut manakala selebihnya mengalir ke longkang monsun.

"IWK ingin tegaskan semua efluen terawat dilepaskan daripada loji-loji IWK mematuhi piawaian JAS,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, IWK sudah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa dan agensi terlibat termasuk JAS pada 15 Julai lalu untuk menangani masalah tersebut.

Katanya, IWK akan memberikan kerjasama kepada semua agensi kawal selia dan pihak berkuasa tempatan berkaitan isu pencemaran terbabit.

"Kami sentiasa berusaha sediakan perkhidmatan pembetungan cekap dan memastikan semua kerja operasi dan penyelenggaraan di 6,700 buah loji rawatan kumbahan mematuhi spesifikasi dan prosedur ditetapkan pihak berkuasa.

"Kami juga ingin maklumkan kolam pembetungan di Seksyen 10, Petaling Jaya telah dihentikan operasi di bawah projek GKL, yang siap pada 2017.

"Loji ini tidak lagi beroperasi dan ia adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP),” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi Dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata JAS memaklumkan punca pencemaran di sungai itu berkemungkinan daripada air sisa kumbahan.

Ia berikutan bacaan ammonia nitrogen (AN) yang tinggi hasil pensampelan dilaksanakan.

JAS dalam satu kenyataan memberitahu akan mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang menjadi punca kepada pencemaran hingga menyebabkan ribuan ekor ikan mati di Sungai Kayu Ara berhampiran Kampung Cempaka di sini Sabtu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: JAS ambil tindakan undang-undang pencemaran Sungai Kayu Ara