KUALA LUMPUR - Empat warga asing dan seorang warga tempatan ditahan dalam operasi mencegah perjudian di sebuah gudang yang diubah suai menjadi pusat operasi judi dalam talian di Kampung Pasir Panjang, Kuala Selangor, semalam.
Dalam"Ops Dadu - Judi Dalam Talian" oleh Unit Pencegahan Perjudian Bukit Aman kira-kira 8.30 malam itu, polis menangkap seorang lelaki Bangladesh serta seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki pekerja premis manakala dua lagi adalah seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pelanggan premis.
Iklan
Iklan
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, premis itu sudah beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lepas.
"Premis ini menjalankan operasi dengan menggunakan komputer riba dan komputer sebagai kawalan utama serta mesin simulator permainan ‘wukong’.
"Siasatan mendapati kutipan wang pertaruhan di premis tersebut boleh mencecah sehingga RM6,000 sehari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rohaimi berkata, lapan unit mesin simulator permainan ‘wukong’, 27 unit komputer riba dan wang tunai RM427 dirampas dalam operasi yang turut disertai anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Menurutnya, semua yang ditahan berusia lingkungan 20-an dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953. - Bernama