KOTA BHARU - Persatuan Perunding Hartanah Kelantan menyasarkan jumlah keahlian yang lebih ramai pada masa akan datang walaupun ia baru ditubuhkan awal tahun ini.
Pengerusinya, Ahmad Lokman Aziz berkata, persatuan tersebut kini mempunyai 120 ahli dan penambahan jumlah itu amat penting supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama seluruh masyarakat.
Menurutnya, objektif penubuhan persatuan itu adalah untuk memartabatkan profesion perunding hartanah yang berdaftar di Kelantan dan mendirikan sebuah masyarakat yang mempunyai pengetahuan dalam hartanah.
"Selain itu ia dapat membendung gejala orang tengah yang tidak berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH), sekali gus juga menjadi suara perunding hartanah berdaftar di Kelantan.
"Kita juga harap penubuhan ini dapat membantu pihak LPPEH dan pengurus harta menyampaikan garis panduan bagi menjaga profesionalisme dalam menjalankan tugas sebagai ejen hartanah dan perunding hartanah," katanya berucap pada Majlis Perasmian Penubuhan Persatuan Perunding Hartanah Kelantan di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Turut hadir, lebih 40 pemaju perumahan di Kelantan, wakil pihak bank dan penilai hartanah yang menjadi pemain utama dalam industri berkenaan.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, penubuhan persatuan itu juga penting untuk memberi pendedahan dan perkongsian maklumat yang betul kepada perunding hartanah yang berdaftar serta orang awam mengikut lunas undang-undang.
"Di Kelantan ramai broker hartanah yang tidak berdaftar dengan LPPEH. Situasi ini menyebabkan berlakunya pelbagai jenis penipuan pembeli dan penjual dalam sektor hartanah.
"Saya berharap semua pihak dapat menjalinkan kerjasama yang erat terutama kerajaan negeri Kelantan serta pemaju perumahan supaya kita dapat memberi kesedaran kepada rakyat Kelantan tentang wujudnya perunding hartanah berdaftar dan dapat membantu dalam urusan jual beli hartanah di negeri ini," katanya.