Pemilik akaun @rihanapetra tidak mahu mengalah

Iklan
Video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Instagram bernama @rihanapetra memaparkan temu bual yang berdurasi kurang seminit.

SHAH ALAM - Biarpun Istana Kelantan dilaporkan murka terhadap pemilik akaun Instagram bernama @rihanapetra yang dikatakan menyamar sebagai Rihana Oksana Gorbatenko, 26, iaitu individu yang berkahwin dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, namun akaun tersebut masih lagi aktif sehingga ke hari ini.

Selepas seminggu tidak memuat naik sebarang ‘kisah percintaan’, @rihanapetra hari ini memuat naik sebuah video temu bual yang berdurasi kurang seminit.

Iklan
Iklan

Video berkenaan memaparkan temu bual Rihana bersama Sultan Muhammad V berkenaan kehidupan pasangan itu.

"Baginda (Sultan Muhammad V) akan menjaga saya dan keluarga kami. Saya juga akan menjaganya. Sudah tentu saya mahu menjadi orang terakhir dalam hidupnya dan saya akan bersama dengannya sepanjang hayat saya,” kata Rihana berdasarkan rakaman video berkenaan.

Iklan

"Keutamaan keluarga kami nombor satu adalah mempunyai zuriat. Sebab zuriat akan menyambung legasi. Bagi saya, dua perkara utama dalam perhubungan adalah semangat dan persefahaman.

"Ramai orang kata cinta, cinta, cinta. Ya...cinta adalah terbaik tetapi selepas 15, 20 tahun, semangat dan persefahaman akan mengatasi cinta,” titah Sultan Muhammad V dalam rakaman itu.

Iklan

Tindakan pemilik itu umpama tidak mahu mengaku kalah setelah mendapat perhatian Istana Kelantan yang kurang senang dengan tindakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Istana Kelantan murka penyebaran pengakuan palsu di Instagram Rihana

Sinar Harian juga cuba mendapatkan penjelasan daripada pemilik akaun berkenaan namun sehingga hari ini masih tiada sebarang jawapan.

Sebelum ini muncul khabar angin mendakwa Rihana bercerai talak tiga namun dinafikan bapanya.

Menurut sijil perceraian yang dipercayai didaftarkan 1 Julai lalu selepas proses perceraian Rihana bertarikh 22 Jun di Singapura.

Memetik laporan Astro Awani, sijil penceraian yang dilengkapi dengan nombor siri itu turut menyatakan perceraian itu sudah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah.

ARTIKEL BERKAITAN: Rihana Oksana dicerai talak tiga?

Model jelita yang dinobatkan sebagai Ratu Moscow 2015 itu dipercayai melangsungkan perkahwinan pada November 2018, lapor portal berita berpusat di United Kingdom, Daily Mail.

ARTIKEL BERKAITAN: Oksana dedah kisah pertemuan dengan Sultan Muhammad

Sementara itu, media Moscow yang turut dipetik Daily Mail melaporkan perkahwinan Rihana bergolak pada 24 Januari lalu.

Semalam, seorang sahabat Rihana mengesahkan bahawa wanita itu sudah bercerai dengan Sultan Muhammad V.

ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat sahkan Rihana Oksana sudah bercerai

Tatyana Andreeva memberitahu akhbar Komsomolskaya Pravda, Rihana sudah kembali ke Rusia untuk menyertai pertandingan Ratu Cantik Rusia pada 26 Jun lalu.

"Dia menyertai pertandingan ini dan sudah pun bercerai. Kini dia menetap di Moscow," katanya menerusi laporan yang disiarkan Daily Mail.

Bagaimanapun, peguam kepada Rihana Oksana mendakwa wanita itu tidak menerima sebarang dokumen rasmi berhubung perceraiannya.

Jelas, Evgeny Tarlo, berita mengenai perceraian itu sekadar khabar angin yang disebarkan media.