PUTRAJAYA - Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) berjaya menyumbang RM18.3 bilion kepada ekonomi negara bagi tempoh 2007 sehingga tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, jumlah itu meliputi permohonan daripada 131 negara yang telah diluluskan.
Katanya, sejak program itu diperkenalkan pada 2002, ia dilihat semakin kukuh dari tahun ke tahun.
"China terus mendominasi pasaran dengan 13,892 permohonan diluluskan, diikuti Jepun, 4,882, Bangladesh 4,187, United Kingdom 2,729, Korea 2,568, Singapura 1,492, Taiwan 1,428, Iran 1,411, Hong Kong 1,087 dan India 1,077.
"Ingin saya tegaskan di sini juga bahawa hanya warga asing yang memenuhi kriteria dan kelayakan termasuk kewangan, keselamatan dan juga aspek kesihatan mendapat kelulusan," katanya pada sidang media sebaik selesai menyempurnakan Bengkel Nasional MM2H di kementeriannya di sini hari ini.
Jelas Mohamaddin lagi, selaras dengan usaha untuk mengembangkan lagi program itu, kementerian menyasarkan untuk meningkatkan perkhidmatan dan profesionalisme agar ia berupaya memberi lebih kesan kepada ekonomi negara.
"Kementerian ketika ini juga dalam proses kajian perancangan secara komprehensif untuk menilai keupayaan program itu kepada ekonomi negara," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kelancaran proses permohonan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), katanya kedua-dua pihak menjalin kerjasama baik.