SABAK BERNAM - [DIKEMASKINI] Seorang pensyarah Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) maut manakala dua lagi rakan sejawatnya cedera dalam kemalangan di Simpang 3 Jalan Sekolah, Kampung Banting, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.50 pagi itu, ketika mangsa Norzeera Ahmad, 39, yang merupakan penumpang hadapan sebuah kereta Perodua Bezza dalam perjalanan ke tempat kerja.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, mangsa, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Kenderaan dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuala Selangor menuju ke Sungai Lang manakala sebuah motosikal jenis Suzuki dari sebuah kedai di Kampung Banting menuju ke rumahnya di Jalan Sekolah Kampung Banting," katanya.
Chee Khoon berkata, pemandu kereta terbabit cuba mengelak motosikal dari arah bahu jalan kiri untuk melintas ke simpang tiga Jalan Sekolah.
"Bagaimanapun, pemandu kereta gagal mengelak motosikal dari arah dekat lalu merempuh motosikal terbabit sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit arah Sabak Bernam," katanya.
Menurut beliau, kejadian itu mengakibatkan kereta terbabit remuk bahagian hadapan dan sisi kiri, manakala motosikal rosak bahagian hadapan dan sisi kanan.
Tambah beliau, pemandu kereta, Zubaidah Mohd Esa, 37, dirujuk ke Hospital Teluk Intan kerana hamil dua bulan, manakala penumpang belakang, Lidyawati Haris, 35, mengalami luka dan lebam bahagian badan.
Ujarnya, pemandu motosikal terbabit, Mohammad Faris Azam Shah Shahrom, 20, pula dirujuk ke Hospital Sungai Buloh kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan.
"Mangsa maut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.