3,191 karton rokok seludup dirampas

Iklan
Dua anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga bersama sebahagian rokok disyaki rokok seludup yang dirampas.

ROMPIN - Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga berjaya merampas 3,191 karton rokok disyaki rokok seludup bernilai lebih RM300,000 dalam dua operasi berasingan di sekitar Kuala Rompin di sini semalam.

Hasil serbuan dan pemeriksaan dijalankan, seorang lelaki berusia 64 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berikutan penemuan sejumlah rokok seludup di rumah miliknya.

Iklan
Iklan

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, rampasan pertama melibatkan 251 karton rokok pelbagai jenama hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Kampung Janglau di sini kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas rumah yang dipercayai dijadikan stor sementara itu, pihaknya menemui rokok-rokok tersebut yang disimpan di bahagian dapur dan bilik.

Iklan

"Semasa operasi itu, kita menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik rumah sebelum dia dan barang rampasan dianggarkan bernilai RM22,674 dibawa ke Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tanjung Gemok di sini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dua anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga bersama sebahagian rokok disyaki rokok seludup yang dirampas.

Norzaid berkata, rampasan kedua melibatkan jumlah lebih besar hasil pemantauan pihaknya berhubung maklumat aktiviti penyeludupan rokok di kawasan Kampung Tanjung Gemok di sini.

Iklan

Katanya, sepasukan anggota yang membuat pemantauan di kawasan muara sungai di kampung berkenaan kira-kira jam 9 malam semalam telah melihat beberapa individu memunggah sesuatu dari sebuah van dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki van.

"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati sindiket menjadikan bangunan terbengkalai di situ untuk transit berikutan penemuan beberapa kotak dibaluti plastik lut sinar berisi 2,940 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM278,570," katanya.

Menurutnya, dua kes tersebut disiasat mengikut Akta Kastam 1967.