7 lelaki didakwa ceroboh hutan simpan

Iklan
Sebahagian tertuduh diiringi pegawai penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menuju ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR- Tujuh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menceroboh dan membersihkan Hutan Simpan Koh Moi, Kedah Utara pada 9 Mac lalu.

Lima tertuduh iaitu Abdullah Hassan, 57; Muhamad Farizul Azman Husain, 38; Nordin Puteh, 54; Saiful Rizan Mohd Noh, 36; Mohamad Shuib Saad, 42; tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan membersih dan membajak di kawasan kopartment 11 Hutan Simpan Koh Moi yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Iklan
Iklan

Kedua-dua pendakwaan itu dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Fazilah Mansor yang mewakili Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 81 (1) (g) Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai oleh Negeri Kedah Darul Aman sebagai Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 81 (2) (c) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka dituduh kesalahan di bawah Seksyen 81 (1) (e) Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai oleh Negeri Kedah Darul Aman sebagai Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 81 (2) (c) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985.

Bahan-bahan bukti seperti pemotong besi gergaji dan parang turut dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Sementara dua lagi tertuduh iaitu Harun Mat, 64 dan Mohd Hasnizam Abdul Hamid, 32, dituduh memasuki kawasan hutan simpan berkenaan tanpa memiliki lesen, permit atau kebenaran sah.

Iklan

Mohd Hasnizam didenda RM6,000, selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan hutan simpan itu bersama seorang lagi yang masih bebas, Abd Jalal Mohamad, 31, kira-kira jam 10.30 pagi, 9 Mac lalu.

Hakim menetapkan denda RM6,000 dikenakan kepada Mohd Hasnizam Abd Hamid selepas mengambil kira rayuannya, kepentingan orang awam dan alam sekitar.

Tertuduh boleh dipenjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun Harun tidak mengaku bersalah dan mahkamah memerintah jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mason Jaro Lenya Barayan.

Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.