KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan harga petrol RON95 sepatutnya berharga RM1.86 seliter jika dikira berdasarkan data terbaru dari Mean of Platts Singapore (MOPS).
Katanya, berdasarkan data itu, harga purata MOPS untuk petrol RON95 telah jatuh kepada AS$0.519 seliter pada akhir minggu lepas berbanding AS$0.538 untuk minggu sebelum itu.
Jadi katanya, mengikut sistem Mekanisme Harga Automatik (APM) seperti dilaksanakan oleh BN sebelum ini, harga RON95 sekarang sepatutnya RM1.86 satu liter.
"Ini juga bermakna rakyat sedang memberi subsidi minyak sebanyak 34 sen untuk setiap liter kepada kerajaan PH sempena cuti sekolah dan musim perayaan kini.
"Tetapi Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) kita masih malu untuk mengaku agar senang untuk ‘Senyap-Senyap Tibai’. Kata nak bagi subsidi minyak kepada rakyat, rakyat juga yang beri subsidi kepada kerajaan,” katanya melalui Facebooknya, hari ini.
Dalam hantaran sama, Najib turut menyentuh diskaun tol lebuhraya Plus yang dimansuhkan kerajaan sempena cuti perayaan hujung tahun ini.
"Diskaun tol 10 peratus sehingga 20 peratus bagi lebuhraya Plus seperti dilaksanakan kerajaan BN setiap tahun untuk hari Krismas pun telah dimansuhkan tahun ini. Lagi nak janji untuk mansuhkan tol? Selamat bercuti!,” katanya.
Dalam masa sama, bekas Ketua Pemuda Umno yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penentuan harga minyak secara mingguan adalah lebih baik dan telus memandangkan keadaan harga minyak tidak menentu sepanjang masa.
Katanya, beliau turut bersetuju keputusan kerajaan mengembalikan penentuan harga runcit petrol mengikut sistem APM.
Beliau juga berharap mekanisme baru APM bermula Januari depan akan didedahkan kepada rakyat supaya lebih mudah untuk rakyat membuat semakan terhadap harga jualan petrol pada masa hadapan.