KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menjalankan tugas mengukuhkan kembali parti itu yang sedang menghadapi keretakan.
Susulan teguran secara terbuka oleh 28 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli Parlimen PKR hari ini, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui partinya itu sedang berdepan konflik sejak penyebaran klip video intim yang berkaitan dengan seorang menteri Kabinet.
Katanya, ketika inilah masa yang paling sesuai untuk Anwar mengembalikan semula kestabilan dalam parti.
Zuraida juga salah seorang daripada 28 pemimpin PKR yang mengeluarkan kenyataan bersama itu hari ini.
Katanya, beliau sendiri rasa kecewa ketika perjalanan parti tidak bergerak ke arah yang sepatutnya.
"Saya rasa inilah masa terbaik untuk PKR mula bersatu dan mengukuhkan kembali parti, jadi terpulang kepada Anwar untuk berbuat demikian. Kita semua mesti menolak politik jijik dan mencari dalang (penyebaran video seks).
"Saya sertai pemilihan parti sebelum ini untuk mengukuhkan lagi PKR tetapi parti ini dilihat tidak bergerak ke arah yang sepatutnya, ini yang menyebabkan saya kecewa," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Seramai 28 Ahli MPP dan ahli Parlimen PKR dalam satu kenyataan bersama hari ini menegaskan Anwar sepatutnya mempertahankan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada sebarang tuduhan yang dilemparkan, bukan memaksanya meletakkan jawatan.