Akta Hasutan masih relevan, kata pakar

Iklan
Wacana Sinar Ilmuan bersama Majlis Profesor Negara (MPN) dengan tajuk ‘Pengucapan dan Jenayah Kebencian: Apa Tindakan Kita?’, sedang berlangsung di Dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Akta Hasutan masih relevan untuk menangani kes pengucapan dan jenayah kebencian.

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia mengambil kira penggunaan media sosial yang begitu meluas ketika ini.

Iklan
Iklan

"Ramai yang cakap akta ini tak relevan atau masyarakat dah matang dan tak perlukan Akta Hasutan. Tapi beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini dan penggunaan media sosial dilihat boleh sebarkan kebencian.

"Kebencian ini boleh ditangani dengan peruntukan dalam Akta Hasutan. Saya masih penyokong tegar kepada akta ini," katanya dalam Wacana Sinar Ilmuan bersama Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini.

Iklan

Membawakan tajuk ‘Pengucapan dan Jenayah Kebencian: Apa Tindakan Kita?’, wacana ini turut menampilkan dua Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) iaitu Prof Dr Mansor Mohd Noor dan Prof Datuk Dr Teo Kok Seong sebagai panel.

Sementara personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya bertindak sebagai moderator.

Iklan

Bagaimanapun, menurut Shamrahayu, kerajaan disaran mengambil tindakan lebih proaktif untuk membentuk undang-undang khusus bagi menangani ucapan dan jenayah kebencian sebelum ia merebak.

"Di sinilah satu kelemahan dari segi perundangan kita di mana belum ada kejituan dalam undang-undang berkaitan ucapan dan jenayah kebencian. Secara umumnya, undang-undang itu masih belum begitu mantap dari segi peruntukan dan pelaksanaannya,” katanya.