MANUSIA diberi nikmat yang besar oleh ALLAH SWT untuk bertutur. Dengan bercakap, kita dapat menyampaikan mesej dan meluahkan rasa hati. Namun silap cakap, ia boleh menempah diri kita ke neraka. Nauzubillah.
Melihat kepentingan perkara itu, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASI) menganjurkan Siri Quran Berjalan (SBQ) 2019 ke-5 bertajuk Komunikasi Nabi Muhammad: Positif dari Rumah ke Pejabat yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pada program itu, Pengurus Latihan ASI, Ustaz Mohd Harfiz Hamzah dan pengkaji hadis dan sirah, Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof berkongsi ilmu mengenai teknik komunikasi Rasulullah SAW.
Mereka berharap, perkongsian itu boleh dijadikan panduan dalam meningkatkan kemahiran komunikasi harian kita di rumah, di pejabat mahupun di mana-mana pun.
Jelas Ustaz Mohd Harfiz, Surah al-Asr menceritakan kelangsungan hidup dalam beriman untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan amal soleh. Visi umat Nabi Muhammad SAW ialah kembali kepada ALLAH.
Oleh itu, katanya, cara fikir dan hidup untuk mendekati ALLAH adalah dengan mengajak, memanggil dan sentiasa ingat-mengingatkan antara satu sama lain dengan orang sekeliling kita.
"Untuk buat baik secara konsisten seorang diri sesuatu yang sukar. Oleh itu, kita perlukan orang sekeliling yang boleh nasihat dan menasihatkan serta dilakukan dengan penuh kesabaran. Ia sebagaimana disebut dalam Surah al-Asr," katanya pada program berkenaan baru-baru ini.
ALLAH SWT berfirman:"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada ALLAH dan ucapkanlah perkataan yang benar. Nescaya ALLAH akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan sesiapa yang mentaati ALLAH dan rasul-Nya, sesungguhnya dia menang dengan kemenangan yang agung.” (Surah al-Ahzab, ayat 70-71)
Takwa