KUANTAN - Khairy Jamaludin perlu bangun membela rakyat bersama Datuk Seri Najib Razak dan bukan memusuhinya, demikian menurut Presiden Pertubuhan suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli.
Katanya, BN sudah tewas lebih setahun tetapi Khairy dilihat tidak henti-henti merengek menyalahkan Najib.
Menurutnya, Khairy tidak gembira dengan pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN tetapi kenapa rakyat perlu mempedulikannya.
"Sejak bila pula negara ini perlu menggembirakan Khairy seorang... yang berjuang membela rakyat adalah Najib sedangkan Khiary hanya menghabiskan hari-harinya kecewa dengan kekalahan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dan kekalahan dalam pemilihan Presiden UMNO," katanya.
Beliau berkata, UMNO perlukan pejuang yang sanggup bersama rakyat ketika susah senang dan bukannya merengek setiap hari ketika kalah.
"Najib tidak mengambil tempat sesiapa di dalam parti.
"Beliau hanya meneruskan perjuangannya setiap hari dan menasihati BN adalah yang terbaik untuk beliau lakukan hari ini," katanya.
Menurutnya Ahli Parlimen Rembau itu perlu bangun untuk membela rakyat bersama Najib bukannya mencari kesalahan dan mengungkit.