SHAH ALAM - Dua puluh tahun dahulu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanyalah seorang suri rumah yang menjadi bidan terjun arena politik berikutan situasi yang melanda keluarganya, bukan kehendak atau pilihannya sendiri.
Berjuang menuntut keadilan untuk suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pemecatan daripada kerajaan dan Umno pada September 1998, diikuti insiden ‘mata lebam’ Anwar, gerakan Reformasi 1998 membawa kepada perubahan landskap politik negara sehinggalah yang mutakhir ini.
Melalui pelbagai onak dan duri dunia politik yang mungkin tidak dapat digambarkan mana-mana wanita, Dr Wan Azizah kental bersama penyokong mengorak agenda perubahan dan perjuangan reformasi menerusi Parti Keadilan Nasional bermula 1999 (Parti Keadilan Rakyat, 2003).
Hasil perjuangan tanpa lelah menghadapi pelbagai ‘fitnah’ politik yang mencabar naluri keibuannya, akhirnya menyaksikan pengorbanan hampir dua dekad berbalas dengan PH memenangi PRU14 dan menamatkan pemerintahan 61 tahun BN pada 9 Mei 2018
Hari ini, selepas memimpin PKR sejak 1999, Dr Wan Azizah menyampaikan ucapan dasar presiden terakhirnya pada Kongres Nasional PKR ke-13 sebagai presiden parti terbesar dalam PH dengan keahlian mencecah 850,000 ahli.
"... saya telah cuba melakukan yang terbaik selama memimpin parti ini, segala kekhilafan saya mohon ampun dan maaf. Hari ini saya serahkan Parti Keadilan Rakyat pada kedudukan terbaik dalam sejarahnya untuk dipimpin oleh kepimpinan yang baharu,” kata Dr Wan Azizah.
Pada hari terakhir kongres esok, barisan kepimpinan baharu PKR yang memenangi pemilihan baru-baru ini akan diumumkan dan tempat Dr Wan Azizah diambil alih Anwar yang menang jawatan itu tanpa bertanding.
Bagi pemimpin dan ahli PKR, Dr Wan Azizah telah memimpin parti dengan amat baik dan meletakkan asas yang begitu kukuh sehingga menjadi sebuah parti yang dianggotai pelbagai kaum dan memiliki ahli Parlimen terbanyak dalam PH.
Kebanyakan mereka menyifatkan Dr Wan Azizah mempamerkan kepimpinan yang menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk menyertai politik dan menetapkan satu penanda aras yang tinggi termasuk Anwar sendiri untuk memimpin PKR.
PKR yang diterajui Dr Wan Azizah turut melahirkan ikon puteri reformasi, Nurul Izzah Anwar yang aktif berpolitik bersama-sama dalam gerakan reformasi. Nurul Izzah merupakan Naib Presiden parti dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Ketua PKR Cabang Bandar Kuching, Simon Siah berkata Dr Wan Azizah telah menghamparkan satu laluan lurus untuk Anwar meneruskan kepimpinan dalam PKR yang mungkin akan berdepan cabaran berbeza terutama setelah menjadi sebahagian parti pemerintah.
"Dr Wan Azizah memiliki gaya kepimpinan tersendiri yang kadang-kadang merasa seperti seorang ibu. Sudah pasti, beliau akan dirindui dan kami percaya beliau tetap bersama kami.....oleh itu tidak ada masalah.
Menurutnya, parti itu telah lama menunggu pembebasan Anwar dan kini merupakan masa yang tepat untuk beliau mengambil alih kepimpinan parti serta memperkukluhkan kembali perpaduan pari selepas pemilihan parti baru-baru ini.
Bagi Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Juwairiya Zulkifli, Dr Wan Azizah merupakan seorang yang rendah diri namun menjadi tulang belakang dan ibu reformasi kepada PKR dalam mengharungi arena politik negara.
Kejayaan Dr Wan Azizah menjadi presiden wanita pertama bagi parti politik di negara ini selain dilantik sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama pastinya menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain terutama golongan muda.
" Saya percaya ini memberi inspirasi kepada ramai wanita muda seperti saya untuk melangkah ke depan dan tidak mengambil mudah keupayaan diri dalam membawa perubahan dalam hidup orang lain. Beliau akan sentiasa menjadi inspirasi kepada semua wanita di negara ini,” katanya.
Seorang ahli PKR dari cabang Bayan Baru, Mohd Ridzuan Khaw, berkata, sebagai seorang wanita yang lemah lembut dengan perwatakan keibuan, Dr Wan Azizah telah melakukan sesuatu di luar kebiasaan dalam memimpin PKR selama 20 tahun.
Menurutnya, haluan parti yang memperjuangkan agenda reformasi harus diperkukuh dan diterapkan dalam sanubari setiap anggota parti terutama golongan muda agar objektif perjuangan mereka dalam parti itu tidak terpesong.
Mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala pengorbanan Dr Wan Azizah, Kongres Nasional PKR hari ini sebulat suara mengambil ketetapan melantik beliau sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang pertama.
Lantikan yang dilakukan dalam usul khas dibawa Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil itu bertujuan membolehkan satu-satunya presiden parti politik wanita di negara ini terus memberi sumbangan kepada parti. - Bernama