KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) akan mempunyai kuasa tatatertib ke atas apa-apa salah laku yang dilakukan anggota pasukan polis termasuk Ketua Polis Negara.
Menerusi Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis 2019 yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, suruhanjaya itu perlu menubuhkan Lembaga Tatatertib yang boleh mengenakan hukuman bagi menangani salah laku anggota polis.
Hukuman itu termasuk amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.
Sekiranya aduan salah laku adalah terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara perlu menubuhkan Lembaga Tatatertib Khas untuk mendengar aduan tersebut.
Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong itu juga menjelaskan fungsi IPCMC antaranya menerima dan menilai apa-apa aduan salah laku daripada mana-mana orang terhadap anggota pasukan polis dan menyiasat aduan itu.
Suruhanjaya itu juga boleh menasihati kerajaan mengenai menambah baik kesejahteraan dan kebajikan anggota polis selain membantu membentuk perundangan atau mengesyorkan langkah pentadbiran kepada kerajaan atau pasukan polis, demi menggalakkan integriti dan menghapuskan salah laku.
Mengikut rang undang-undang itu, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri akan melantik tidak lebih daripada 10 anggota IPCMC, termasuk seorang Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.
Anggota suruhanjaya itu tidak boleh dilantik dari kalangan mereka yang masih atau pernah menjadi anggota pasukan polis atau anggota perkhidmatan awam.