KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan kebarangkalian video intim melibatkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan individu mirip menteri itu tulen adalah tinggi.
Bagaimanapun katanya, hasil analisis video tidak dapat mengesahkan pelaku itu adalah menteri yang dikaitkan.
"Polis telah menerima hasil analisis daripada pihak CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) ke atas video yang dimaksudkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Penghasilan video intim diupah ratusan ribu ringgit kata Ketua Polis Negara
"Kebarangkalian video tersebut tulen (authentic) adalah tinggi dan hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan,” katanya.
Abdul Hamid dalam satu rancangan terbitan RTM malam tadi mengesahkan video berkenaan tulen berdasarkan analisis CyberSecurity.
"Mereka (CyberSecurity) kata tulen tetapi mereka tidak dapat mengesahkan seratus peratus siapa pelaku dalam itu dan saya sebagai ketua Polis Negara, saya tidak boleh memandai-mandai. Perkara tersebut akan menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya ia dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Ahad lalu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz bersama lima individu ditahan dalam serbuan besar-besaran di sekitar Lembah Klang.
Kesemua mereka kemudian direman selama enam hari sehingga Sabtu ini.
Susulan itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersama dua lagi individu ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru, Selasa lalu.
Bagaimanapun, polis hanya menahan reman selama empat hari dua daripada mereka termasuklah Farhash Wafa.