NEW DELHI – India akan membuat cubaan terbaharu untuk melancarkan misi ke bulan pada Isnin ini seminggu selepas ia membatalkan ekspedisi itu kurang sejam sebelum ia berlepas kerana kebocoran bahan api helium.
Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) memaklumkan tarikh baharu pelancaran Chandrayaan-2 adalah pada jam 2.43 petang (waktu tempatan).
Iklan
Iklan
Pada Isnin lalu, pelancaran misi kedua India ke bulan terpaksa dibatalkan selepas countdown terhenti pada 56 minit dan 24 saat susulan gangguan teknikal dikenal pasti dalam sistem pelancaran kenderaan.
India berhasrat mahu menjadi negara keempat selepas Rusia, Amerika Syarikat dan China untuk melakukan pendaratan sempurna di permukaan bulan.
Projek tersebut menelan kos AS$140 juta (RM576 juta) dan merupakan misi ke bulan paling murah berbanding negara antarabangsa lain.
Ia akan membawa pengorbit yang akan mengelilingi bulan selama setahun.
Selain itu, Chandrayaan-2 juga membawa robot pendarat, Vikram dan kenderaan perayau, Pragyan untuk mengkaji komposisi permukaan bulan. - Agensi