Tiada pindaan dalam subjek Sejarah tingkatan tiga

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan melakukan pindaan atau melaksanakan semakan semula terhadap kurikulum dan buku teks mata pelajaran Sejarah Tingkatan Tiga bagi memansuhkan beberapa bab berkaitan dengan pendudukan Jepun dan ancaman Parti Komunis Malaya serta Darurat 1948.

KPM, dalam satu kenyataan hari ini, berkata semakan kurikulum mata pelajaran Sejarah kali terakhir dilaksanakan pada 2017 secara berfasa.

Iklan
Iklan

"Buku teks serta kurikulum kini adalah berasaskan kepada semakan berkenaan,” menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan itu, kohort pertama yang mempelajari mata pelajaran Sejarah dan menggunakan buku teks Sejarah semakan terkini ini adalah murid Tingkatan Satu pada 2017 yang mana mereka merupakan murid Tingkatan Empat pada tahun hadapan.

Iklan

KPM berkata semakan terakhir ini bermula asalnya pada tahun 2012 melibatkan pakar sejarah, pensyarah universiti awam, guru-guru cemerlang sejarah dan pegawai kurikulum dalam Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Mata Pelajaran Sejarah (JKPMPS) Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah.

"Tiada mana-mana bahagian yang digugur, dibuang atau dimansuhkan, sebaliknya bahagian berkenaan telah disusun dan diatur semula agar kurikulum yang dipelajari murid lebih kemas dan bersistematik bagi memudahkan pemahaman mereka tentang sejarah negara," katanya.

Iklan

Kementerian berkata kandungan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah disusun secara kronologi mengikut garis masa peristiwa sejarah yang mana tajuk-tajuk yang diajarkan kepada murid adalah secara berkesinambungan daripada Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima supaya murid dapat memahami sejarah negara dengan lebih mendalam.

Menurut kementerian itu, kandungan KSSM Sejarah Tingkatan Tiga adalah bertemakan Kedatangan Kuasa Asing di mana murid diajar tentang campur tangan dan penjajahan kuasa Barat dan tindak balas masyarakat tempatan.

Di bawah tajuk Campur Tangan dan Penjajahan Kuasa Barat pula, murid didedahkan dengan kedatangan kuasa Barat, pentadbiran negeri-negeri Selat, negeri-negeri Melayu Bersekutu, negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Sabah dan Sarawak serta kesan pentadbiran Barat terhadap ekonomi dan sosial negara.

Di bawah tajuk Tindak Balas Masyarakat Tempatan, murid didedahkan dengan penentangan penduduk tempatan yang melibatkan pergerakan nasionalisme tahap pertama yang bersifat setempat, dan kebijaksanaan Raja Melayu dan pembesar menangani cabaran Barat sehingga melambatkan proses perluasan kuasa Barat di negara ini.

Kementerian berkata tajuk Pendudukan Jepun di Negara Kita, Ancaman Parti Komunis Malaya dan Darurat yang dahulunya dipelajari oleh murid Tingkatan Tiga menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) akan diajar kepada murid di Tingkatan Empat pada tahun 2020 berdasarkan KSSM Sejarah baharu. - Bernama