Anwar, Azmin bersara sajalah, kata Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - Perbalahan antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disifatkan wajar dihentikan dengan kaedah kedua-duanya 'angkat kaki' dari arena politik tanah air.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua pemimpin itu telah berdepan dengan skandal yang memalukan negara justeru bersara adalah jalan terbaik.

Iklan
Iklan

"Jika disandarkan kepada rasional kenyataan Anwar yang meminta Azmin meletakkan jawatan jika didapati video seks sejenis yang dikaitkan dengan beliau disahkan ketulenannya oleh pihak berkuasa, maka Anwar juga patut mengambil tanggungjawab yang sama.

"Ini kerana, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga pada 2011 mengeluarkan kenyataan ketika itu mengatakan hasil siasatan forensik video 'china doll' berkenaan dengan adegan seks yang dikaitkan dengan Anwar juga adalah tulen.

Iklan

"Kenyataan ini hampir serupa dengan kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini yang mengesahkan ketulenan video dikaitkan dengan Azmin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mendesak kedua-dua pemimpin itu agar melepaskan jawatan seterusnya bersara daripada politik.

Iklan

"Hakikatnya lebih 20 tahun politik tanahair diwarnai dengan skandal politik yang jijik lantaran perbalahan dan perebutan kerusi perdana menteri yang semacam tiada kesudahan, sedangkan rakyat berterusan sengsara dek kerana ekonomi negara yang makin menghimpit.

"Pemuda UMNO ingin ingatkan bahawa rakyat sudah memilih kamu untuk membela nasib mereka bukannya berebut jawatan dan ’harta rampasan lepas perang’ yang tiada penghujungnya sejak PRU14 lalu. Jika tidak mampu menguruskan negara, bubarkan sahaja Parlimen dan serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih teraju kepimpinan yang baharu," katanya.