Laporan KDNK negeri diterbitkan bulan ini

Iklan
Dr Abdul Latib (enam dari kiri) bergambar bersama peserta yang hadir pada sesi interaktif bersama responden Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 hari ini.

ALOR SETAR - Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 bagi setiap negeri akan dikeluarkan pada 25 Julai ini, diterbitkan dalam Laporan Sosioekonomi negeri 2018.

Pengarah Kanan, Bahagian Perangkaan Akaun Negara, Dr Abdul Latib Talib berkata, terbitan itu bersekali dengan laporan My Local Stats 2018 yang memperincikan statistik bagi peringkat daerah masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan laporan terbabit, prestasi ekonomi negeri-negeri dapat diukur secara terperinci.

"Statistik yang dihasilkan berasaskan piawaian dan garis panduan ditetapkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Iklan

"Ia digunakan secara komprehensif dalam merencana polisi pembangunan negara,” katanya selepas merasmikan sesi interaktif bersama responden Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019, di sini hari ini.

Dr Abdul Latib berkata, jabatan itu turut menerbitkan Stats Alert, iaitu statistik dalam bentuk infografik dengan purata 17 statistik sebulan.

Iklan

"Ini termasuk hebahan penerbitan setiap keluaran kepada lebih 6,600 penerima menerusi emel kepada menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan persekutuan dan agensi negeri,” katanya.

Menurutnya, Banci Perdagangan Borong dan Runcit (WRC) dilaksanakan bermula April hingga September ini bagi mengemaskini stok rangka dan profil subsektor perdagangan borong dan runcit sehingga peringkat mikro, selain mengukur sumbangannya kepada ekonomi.

"Ia sebagai instrumen penggubalan dasar pembangunan selain untuk mengukur pencapaian pelan pembangunan nasional, terutama dalam penyediaan Rancangan Malaysia,” katanya.

Dr Abdul Latib berkata, dianggarkan 500,000 syarikat perniagaan seluruh negara terlibat dalam WRC, manakala 24,735 syarikat adalah dari Kedah.

"Tahun depan pula akan diadakan banci ekonomi 2021 yang diadakan setiap lima tahun sekali, selain banci penduduk dan perumahan setiap 10 tahun sekali,” katanya.

Sehubungan itu katanya, data tepat daripada responden terlibat amat penting dalam usaha negara merangka dasar ekonomi dan pembangunan bersesuaian.

"Hasil data awalan daripada bancian akan diterbitkan pada November manakala penerbitan muktamad pada Februari 2020,” katanya.

Dr Abdul Latib turut mengumumkan lebih 2,500 pengamal statistik dari lebih 100 buah negara bakal berkampung di Malaysia pada 18 Ogos depan, menjayakan persidangan The 62nd ISI World Statistics Congress 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Selaku tuan rumah kepada persidangan dunia, ia memartabatkan negara dalam bidang statistik agar lebih dikenali, ini suatu pengiktirafan kepada negara,” katanya.