DUNGUN -"Saya ingatkan anak yang pegang pinggang saya... tapi rupanya 'kerja' harimau," cerita Mohd Harun, 61 mengenai harimau belang yang menjilat pinggangnya.
Tukang rumah ini merasakan nyawanya bagaikan di hujung tanduk apabila didekati dua ekor harimau belang dalam kejadian di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, bukan seekor tetapi sepasang pak belang ini dilihat berkeliaran di kampung itu sekali gus menggemparkan penduduk kampung.
Walaupun dilihat seperti jinak, namun kedua-dua ekor raja rimba yang merayau-rayau di sekitar kawasan kediaman penduduk dan di jalan raya kampung itu juga sebenarnya agresif apabila mengejar penunggang motosikal dan penduduk yang berada di luar rumah.
Kedua-dua ekor haiwan terbabit juga dilihat seperti dalam keadaan lapar dengan keadaan badan yang agak kurus.
Cerita Mohd lagi, ketika kejadian dia sedang membaiki kawasan rumahnya bersama seorang anak lelakinya yang berusia 22 tahun sebelum salah seekor haiwan liar terbabit menjilat pinggangnya.
"Bila rasa lain macam kat pinggang, saya terasa nak tepuk dahi dia sebab nakal usik-usik saya, tapi... rasa pelik pula objek yang saya tepuk tu... berbulu.
"Terkejut besar saya bila tengok pak belang ada tepi saya... tak fikir apa dah, terus saya lari sekuat hati masuk dalam rumah.
"Lepas beberapa minit, saya intai keluar. Saya agak mesti harimau tu dah pergi.
"Buka pintu... rasa nak pengsan sebab ada lagi seekor. Macam tak percaya pun ada. Sebab harimau yang saya tepuk tu macam besar sikit, tapi yang ada kat depan tu kecik pulak badannya," katanya.
Tidak tahu apa yang harus dibuat, Mohd terus berlari sambil menjerit sekuat hati meminta tolong.
"Saya lari tanpa arah. Saya nampak sungai, terus terjun. Luka sikit dahi saya, tak perasan terkena apa, mungkin masa terjun sungai," katanya.
Mohd berkata, sejak kampung itu dibuka sekitar 60 tahun dulu, inilah kejadian kali pertama 'dikunjungi' dua ekor pak belang.
Sementara itu, peniaga kedai runcit, Jamilah Hamzah, 45, pula berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama anak lelakinya yang berumur 7 tahun sebelum terdengar bunyi bising.
"Saya keluar nak tengok kenapa bising sangat.
"Tak sangka betul saya, dua ekor harimau tu ada kat tepi jalan raya.
"Saya betul-betul terkejut dan panik... terus lari masuk ke dalam kedai runcit saya yang bersambung dengan rumah.
"Menggigil-gigil saya tutup semua pintu kedai... saya berdoa agar haiwan itu tak datang dekat dengan saya.
"Dahlah takut, telefon suami pulak, tiba-tiba pula tak ada 'line'," ceritanya.
Cuba dan terus mencuba mencari 'line, akhirnya Jamilah dapat berhubung dengan suaminya dan meminta maklumkan kejadian itu untuk mendapatkan bantuan.
Jamilah bersyukur kerana kedua-dua pak belang itu tidak datang ke kedainya, namun mengakui masih terkejut dan trauma dengan kejadian yang kali pertama dialaminya itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pak belang berkeliaran di Bukit Besi
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perlihitan) Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusuf berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi.
Menurutnya, kakitangan Perlihitan segera dikerah ke lokasi kejadian untuk melakukan usaha menangkap haiwan liar itu sejurus menerima aduan mengenainya.
"Harimau itu tidak lari ketika didekati kenderaan tetapi kita masih tidak dapat pastikan sama ada ia jinak atau tidak.
"Sekarang kita sedang lakukan usaha untuk menangkap harimau belang terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Kata Abdul Malik, pihaknya setakat ini juga masih belum dapat mengenal pasti dari mana harimau belang itu datang dan siasatan lanjut tentang kejadian itu sedang dilakukan.