SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa biasiswa dinamakan Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Universiti Luar Negara Felda ditamatkan.
Katanya, kerajaan BN sebelum ini membantu rakyat sebaliknya Pakatan Harapan (PH) mengetepikan kebajikan rakyat.
"Kalau dulu kita membantu rakyat. Rakyat kroni saya. Hari ini rakyat diketepikan oleh PH.
"Mungkin ikon Felda atau kroni-kroni Putrajaya dapat bantuan membela nasib mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sepucuk surat menyatakan tentang kedudukan terkini Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Universiti Luar Negara Felda yang tidak dapat diteruskan bagi tahun ini.
Berdasarkan surat tersebut, pembiayaan tidak dapat diteruskan bagi pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda ke luar negara bagi kesemua pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat A-Level di Kolej Yayasan UEM kerana kekangan kedudukan kewangan yang sedang dialami oleh Felda.
Felda menggalakkan pelajarnya untuk memohon dan mendapatkan penajaan dari lain-lain agensi kerajaan atau swasta dalam dan luar negara.
Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas pengurusan Felda berkaitan isu ini dalam masa terdekat.