SHAH ALAM - Ahli politik dan masyarakat perlu 'move on' daripada terus menjadikan isu video intim yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai isu besar sehingga menimbulkan perbalahan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Radzlan Jalaludin berkata, situasi yang berlaku sekarang ini tidak seharusnya wujud dalam era Malaysia Baharu kerana pemimpin yang berpotensi sepatutnya diangkat dan disokong, bukannya dijatuhkan dengan cara yang menjijikkan.
Menurutnya, ia juga tidak wajar dijadikan modal untuk menimbulkan provokasi dalam PKR sendiri.
"Apa yang berlaku ini adalah memang komplot untuk membunuh karier Azmin kerana umum dapat melihat bahawa Azmin adalah pemimpin yang mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam pentadbiran kerajaan yang ada. Jadi mungkin.. seperti biasalah bila ada orang yang berpotensi, pasti ada orang yang dengki.
"Jadi tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang kita sayangi ini. Dalam era Malaysia Baru ini patut kita membantu dan mengangkat pemimpin-pemimpin yang mempunyai potensi ini bukan lagi kita bunuh dan jatuhkan apatah lagi jatuhkan dalam keadaan cara mengaibkan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian menjawab berhubung desakan yang wujud dalam kalangan PKR agar Azmin meletakkan jawatan sekiranya benar didapati Azmin terlibat dengan video intim berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Radzlan berkata, meskipun wujud desakan tersebut, ia tidak menggambarkan pendirian majoriti ahli dan pimpinan tertinggi PKR.
"Ia adalah pandangan dua tiga orang yang kita percaya mereka ini kurang selesa dengan Azmin," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai ketulenan video intim berkenaan yang telah disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, beliau berkata isu ketulenan video dan pelaku dalam video adalah dua isu berbeza.
Katanya, KPN secara jelas menyatakan pelaku dalam video itu tidak dapat disahkan jadi Azmin tidak boleh dikaitkan sama sekali.
"Ada yang kata video dah tulen, tangkap pelaku..soalan saya, siapa pelaku yang mahu ditangkap? KPN kata pelaku tidak dapat disahkan jadi bagaimana polis nak buat tangkapan atau siasatan ke atas pelaku. Jadi kita sebagai ahli-ahli politik dan masyarakat, kita 'move on'.
"Perkara ini telah merencatkan tugas ramai pihak terutamanya pihak polis. Jadi kita nak 'move on'. Ekonomi mahu diperbaiki, keselamatan negara hendak dijaga dengan baik, jadi sudah. Hentikan cerita berkaitan dengan video lucah yang tidak bermoral ini dan kita tumpukan kepada pembangunan ekonomi, kepada pembangunan masyarakat, kebajikan rakyat, keselamatan negara," katanya.
Bagaimanapun katanya, isu penyebaran video berkenaan tetap perlu diberi perhatian dan pelaku yang terlibat perlu dihukum.
"Penyebar telah menyebarkan bahan lucah walaupun kita tidak tahu siapa pelaku, siapa pelakon, tetapi aksi yang ditunjukkan dalam video tersebut adalah aksi lucah. Jadi siasatan ke atas mereka perlu dilakukan dengan baik, dan sekiranya ternyata mereka yang melakukan penyebaran itu, mereka harus didakwa," katanya.