Gerobok Rezeki bantu golongan kurang mampu

Iklan
Pelajar gembira mengambil makanan secara percuma dari Gerobok Rezeki yang diwujudkan di Pusat Hidayah UiTMCT Kampus Dungun.

DUNGUN - Projek Gerobok Rezeki dilancarkan Kindness Malaysia dengan usahasama Universiti Teknologi Mara Cawangan Terengganu (UiTMCT) di Kampus Dungun bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan termasuk pelajar.

Inisiatif yang diilhamkan daripada Projek Gerobok Humanity itu menawarkan bantuan kecemasan bagi mereka yang memerlukan atau terputus bekalan makanan akibat kekangan kewangan melalui penyediaan almari yang diisi dengan barangan keperluan asas seperti makanan kering dan barang penjagaan peribadi.

Iklan
Iklan

Almari tersebut ditempatkan di Masjid UiTMCT atau lebih dikenali sebagai Pusat Hidayah di mana mahasiswa atau mana-mana individu tanpa mengira latar belakang agama hanya perlu menulis nama dalam buku yang disediakan sebelum mengambil apa sahaja barang keperluan secara percuma.

Koordinator Kindness Malaysia di Terengganu, Nur Syazwani Halim berkata, projek kerjasama dengan Biro Pembangunan Pelajar Akademi Pengajian Bahasa UiTMCT itu dapat menggalakkan warga kampus untuk ambil peduli tentang pelajar atau golongan yang kurang berkemampuan serta memberi bantuan kepada mereka dengan mudah dan segera.

Iklan

"Ini sekali gus dapat membudayakan semangat saling membantu, membangunkan modal insan dan memupuk nilai murni dalam kalangan warga UiTMCT.

"Sebab itu apabila isu penyalahgunaan atau kebarangkalian untuk ambil kesempatan dibangkitkan, kami tidak letakkan ia sebagai keutamaan kerana matlamat utama adalah untuk membantu dan memberi kesedaran kepada umum,” katanya.

Iklan
Gerobok Rezeki menawarkan bantuan kecemasan bagi mereka yang terputus bekalan makanan dan barangan keperluan harian disebabkan kekangan kewangan.

Nur Syazwani yang merupakan tenaga pengajar di universiti berkenaan berkata, projek yang dijalankan sejak 2016 di sekitar Lembah Kelang dan beberapa negeri lain itu mendapat sokongan penuh pengurusan tertinggi serta warga kampus dalam membantu meringankan beban pelajar yang kurang bernasib baik.

Katanya, selain menghidupkan peranan masjid sebagai institusi perantara yang boleh digunakan untuk memohon bantuan, pemilihan Pusat Hidayah sebagai lokasi Gerobok Rezeki juga menggalakkan kariah untuk sama-sama menyumbang.

"Sehubungan itu, kami mengalu-alukan semua pihak terutama orang awam yang ingin menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan dalam usaha memastikan stok sumbangan sentiasa ada dan mencukupi.

"Saya juga berharap Gerobok Rezeki ini dapat diperluaskan lagi supaya golongan yang kurang berkemampuan dapat meneruskan kelangsungan hidup," katanya.