Isteri belum ditemui, Ifan enggan tinggalkan tempat kejadian...

Iklan
- Foto Instagram Ifan

ISTERI belum ditemui, vokalis kumpulan Seventeen, Riefan Fajarsyah atau Ifan enggan tinggalkan tempat kejadian tsunami, kelmarin untuk mencari isterinya itu.

Luahan itu dicoretkan di Instagram (IG) miliknya dan turut memaklumkan jenazah empat rakannya itu dikebumikan di empat lokasi berbeza hari ini.

Iklan
Iklan

"Minta maaf minta ampun aku tidak boleh hantar sampai akhir, aku perlu cari Dylan dan Andi," tulis Ifan buat empat sahabatnya yang terkorban dalam tsunami, kelmarin.

Dua anggota kumpulan itu disahkan terkorban adalah pemain gitar Muhammad Awal Purbani dan Herman Sikumbang serta dua pengurus mereka Oki Wijaya dan Rukmana Rustam atau Ujang.

Iklan

"Bani dimakamkan (dikebumikan) jam 1 petang (waktu tempatan) di Gamping, Herman di Tidore, Oki jam 2 petang di Krapyak dan Ujang di Ciledug.

"Minta maaf tidak dapat hantar, tenang dan ikhlas di sana ya... InsyaAllah kita di sini tidak akan putus kirim doa buat kamu di sana nanti," tulisnya.

Iklan

Setakat ini, hanya Ifan yang ditemui selamat manakala pemain drum kumpulan itu Windu Andi serta isteri Ifan, Dylan Sahara masih belum ditemui.

Pada perkongsian sebelum itu Irfan berkata ingin bertemu dengan isterinya agar dia boleh mengucapkan

"Hari ini (23 Disember) ulang tahun (kelahiran) kamu, aku mahu ucapkan (siaran) langsung, cepat pulang sayang @dylan_sahara,"

Kapsyen itu mengundang rasa sedih para peminat dan rata-rata mendoakan agar Irfan dapat bertemu dengan isteri dengan selamat.

"Sedih sangat, sabar ya abang... Semoga isteri ditemukan dalam keadaan sihat walafiat,"tulis windawindy.

"InsyaALLAH, semoga cepat berjumpa dengan keluarga semua ya abang Irfan tetap sabar dan terus berdoa kepada ALLAH yang maha kuasa agar cepat dipertemukan kembali dan yang telah pergi dulu turut berduka cita, semoga amal ibadah mereka diterima disisinya Amin," tulis muhammad_alfith.

"Ya ALLAH pertemukan kembali Abang Irfan dengan isterinya... Amin," tulis ayietw.

"InsyaAllah selamat... ALLAH yang maha kuasa atas segala-galanya... Semua orang mendoakan yang terbaik untuk isterinya... terus berdoa," tulis mumunateng.

"Ya Allah.. Sedih baca kapsyennya... Semoga Dylan segera diketemukan, Amin," tulis chiyokosayuri.

Kumpulan Seventeen dijemput khas membuat persembahan di Tanjung Lesung Beach Resort, Banten, sebelum gelombang tsunami melanda kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia).

Setakat jam 1 petang tadi, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho mengesahkan jumlah kematian dicatatkan 281 orang, 1,016 cedera, 57 masih hilang dan 11,687 orang dievakuasi.

"Sebanyak 611 rumah, 69 hotel dan vila, 60 warung serta kedai dan 420 perahu didapati rosak," tulisnya di laman Twitter miliknya.

Terdapat juga satu video memaparkan detik terakhir kumpulan itu sedang mengadakan persembahan sebelum ombak tsunami datang `menyapu' pentas dan penonton menjadi tular di laman sosial.