DUNGUN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu tidak menolak kemungkinan dua ekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, di sini semalam merupakan harimau belaan ekoran keadaannya yang tidak terlalu agresif.
Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pak belang itu mungkin dilepaskan individu tertentu sebelum kedua-duanya tersesat ke kawasan penempatan penduduk.
Katanya, bagaimanapun perkara itu masih belum dapat dipastikan kesahihannya dan kemungkinan juga harimau itu dilihat agak jinak disebabkan faktor diserang penyakit.
"Dua harimau berkenaan dipercayai seekor harimau betina dan anak jantannya yang kita syaki ia mungkin harimau belaan tetapi kita belum dapat kenal pasti ia datang dari mana dan siapa yang lepaskannya.
"Atau mungkin kedua-dua harimau belang itu kena penyakit hingga ia agak lemah dan tidak bertenaga. Tapi setakat ini jarang harimau diserang penyakit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Pak belang berkeliaran di Bukit Besi
Dua harimau belang berkenaan dikesan berkeliaran di sekitar kampung terbabit kira-kira jam 9 pagi semalam sekali gus menggemparkan penduduk sehingga tular di media sosial.
Ia juga menjadi kejadian pertama dua ekor harimau muncul di kampung itu sejak penempatan tersebut mula dibuka 60 tahun lalu.
Abdul Malek berkata, seramai 20 orang kakitangan Perhilitan digerakkan ke lokasi kejadian dalam usaha mengesan dan menangkap kedua-dua harimau berkenaan sejak petang semalam.
Beliau berkata, pihaknya menempatkan beberapa buah perangkap di lokasi yang dikenal pasti.
ARTIKEL BERKAITAN: Macam nak mati bila tengok harimau jilat pinggang saya...
Berikutan itu, Abdul Malek meminta penduduk kampung terbabit agar menghentikan sementara sebarang aktiviti di hutan dan kebun bagi mengelakkan risiko diserang.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai yang terserempak dengan pak belang tersebut agar tidak mendekatinya kerana dikhuatiri binatang itu akan menyerang manusia sekiranya merasakan dirinya diancam.
Ditanya mengenai andaian segelintir pihak bahawa harimau belang itu keluar habitat asal untuk mencari makan kerana aktiviti perlombongan dan pembalakan di hutan berdekatan, Abdul Malek berkata pihaknya turut tidak menolak kemungkinan itu.
"Kita akan jalankan siasatan lanjut mengenai perkara tersebut. Buat masa ini kita juga tak dapat sahkan jenis harimau itu serta lingkungan umur kedua-duanya selagi ia tidak berjaya ditangkap," katanya.