JOHOR BAHRU - Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan di sini yang ditutup operasinya hujung tahun 2017 lalu akan kembali dibuka kepada orang awam tahun depan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri berkata, fasiliti berkenaan kini sedang dibaik pulih dan dijangka bakal dibuka semula menjelang Januari depan.
Menurutnya, kerja-kerja penambahbaikan fasiliti berkeluasan 5.66 hektar itu akan menelan belanja sebanyak RM500,000.
"R&R ini kalau dulu memang kawasan berehat bagi Lebuhraya Peruraian Timur (EDL) semasa ia bertol. Jadi bila tol ditamatkan, semuanya diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) oleh pemaju.
"Selepas diserahkan kepada JKR pada penghujung 2017, ia dibiarkan begini (terbiar) kerana kekurangan dana untuk diselenggara. Jadi sekarang kita rasa sudah tiba masanya untuk ia dibuka,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat fasiliti berkenaan semalam.
Solihan berkata, pembukaan semula R&R itu juga adalah bertujuan membantu usahawan kecil di negeri ini untuk mempunyai ruang niaga yang selesa.
"Kerajaan negeri akan sediakan satu tender terbuka untuk peniaga yang berminat mengusahakan kawasan ini. Kita ada banyak fasiliti di sini, gerai, surau, tandas dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, penambahbaikan fasiliti berkenaan juga adalah persediaan diambil kerajaan negeri sebelum menjelang Tahun Melawat Johor kelak.
"Ia untuk memberi keselesaan kepada semua, kita tidak mahu orang lalu lalang dan biarkan bangunan kosong seperti ini. Jika mengikut perancangan kawasan ini memang mempunyai potensi.
"Macam sekarang, boleh kata setiap hari ada dalam 400 kenderaan akan masuk kerana mahu memperbaharui permit VEP di khemah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibuka di sini.
"Jadi sekiranya ada kedai-kedai dan fasiliti lain yang dibuka, jumlah pengunjung mungkin akan bertambah,” katanya.