KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Jalan Syed Putra hala menghala pusat bandar, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, dalam kejadian jam 4.20 pagi itu, G Arulkumar, 23 yang memandu kereta jenis Honda Accord maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
"Mangsa dari arah Lebuhraya Persekutuan disyaki hilang kawalan melanggar pembahagi kanan jalan dan terbabas lalu terbalik ke bahu kiri jalan.
"Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Katanya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pantai diketuai Tuan Khairuddin Tuan Omar ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.