DUNGUN - Kehadiran dua ekor harimau belang di Bukit Besi, di sini semalam mengundang kebimbangan Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) terhadap keselamatan haiwan yang hampir pupus tersebut.
Menurut kenyataan yang disiarkan dalam Facebook rasminya, Animal Malaysia berkata, pihaknya khuatir jika sang harimau menjadi mangsa pembunuhan oleh penduduk akibat suasana panik dan takut diserang haiwan berkenaan.
Kata kenyataan itu, Animal Malaysia juga bimbang tentang aktiviti pemburuan haram oleh pemburu binatang liar yang sentiasa menanti peluang apatah lagi binatang terancam berharga itu sekarang ibarat sudah berada di depan mata.
"Haiwan liar di Malaysia sudah menghampiri sama seperti keadaan di India apabila beberapa spesies terancam seperti Harimau Malaya, Harimau Kumbang, Tapir, Gajah dan Kongkang (Slow Lorris) sudah mula didapati berkeliaran di jalan raya dan kawasan penduduk padat.
"Sehingga kini jumlah Harimau Malaya hanya tinggal tidak sampai 200 ekor di seluruh hutan di Malaysia," kata kenyataan itu.
Menurutnya, keadaan menyedihkan itu kesan penerokaan hutan akibat pembalakan, perladangan hutan, perkebunan, bandar baharu dan pembangunan serta taman rekreasi yang tidak terkawal.
"Haiwan liar ini keluar kerana kebuluran akibat kekurangan rantaian makanan dalam lingkungan habitatnya," katanya.