YAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dengan kerjasama Petronas Gas Berhad menganjurkan program penanaman terumbu karang di dasar laut dan pembersihan pantai sempena hari alam sekitar sedunia 2019 peringkat negeri Kedah di Pulau Sonsong baru-baru ini.
Pengarah JAS Kedah, YM Tunku Khalkausar Tunku Fathahi@Fathi berkata, program ini adalah salah satu inisiatif JAS Kedah dengan jalinan program Corporate Service Responsibility (CSR) bagi memupuk budaya menjaga dan melestarikan alam sekitar.
Menurutnya, ia juga bertujuan untuk memelihara dan memulihara ekologi marin khususnya dengan melaksanakan aktiviti menanam terumbu karang.
"JAS Kedah sangat mengalu-alukan sebarang penganjuran oleh pihak swasta, NGO dan orang awam dalam melaksanakan aktiviti yang murni dan baik seperti ini.
"JAS merupakan sebuah agensi penguatkuasaan bagi memastikan setiap premis yang menghasilkan pencemaran mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
"Selain dari itu, JAS juga melaksanakan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar menerusi pelbagai program antaranya Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2019," katanya.
Tambah Khalkausar, Hari Alam Sekitar Sedunia telah disambut bermula sejak tahun 1972 dan telah berkembang menjadi sambutan utama di seluruh dunia dengan melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Ia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat sedunia terhadap isu-isu alam sekitar serta mempertingkatkan tindakan dan penglibatan bersama-sama terhadap perubahan alam sekitar," katanya.