Tempoh bulan madu Pakatan Harapan sudah berakhir

Iklan
Sidang Media Majlis Pengerusi-pengerusi Pimpinan Negeri PKR di Ibu Pejabat PKR hari ini. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Tempoh bulan madu sudah berakhir dan kini pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu membantu rakyat dan menunaikan manifesto yang masih belum terlaksana.

Peringatan itu disuarakan Majlis Pengerusi-pengerusi Pimpinan Negeri PKR yang baru ditubuhkan hari ini dan dipimpin Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau memahami keadaan di mana PKR sudah lama menjadi pembangkang dan perlu melakukan beberapa penyelarasan ketika menjadi kerajaan.

"Namun sekarang dah lebih setahun dan saya rasa tempoh bulan madu sudah berakhir. Tolong dengar suara kami kerana kami tahu rakyat perlu dibantu.

Iklan

"Kami tahu pemimpin atasan mungkin sibuk tapi kami lebih rapat dengan rakyat. Sebab itu penubuhan majlis pengerusi ini sangat penting,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini pagi tadi.

Tambah Johari, majlis tersebut telah membuat ketetapan untuk terus memberi fokus kepada menjamin kebajikan rakyat.

Iklan

"Sekarang kita menjadi kerajaan dan kita minta pimpinan faham masalah di negeri. Mungkin mereka tidak dapat gambaran sebenar. Selama ini kami tak diberi ruang untuk luahkan perasaan kami.

"Sejujurnya kami tak berminat dengan apa berlaku kepada kepimpinan tertinggi parti sekarang tapi kami pentingkan apa yang perlu diberi kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata penubuhan majlis tersebut adalah sebahagian daripada usaha menyempurnakan manifesto dilaungkan dalam pilihan raya umum tahun lepas.

"Semua anggota bersetuju dan menyatakan komitmen sedemikian. Ini seharusnya menjadi sempadan kepada sesiapa yang berikhtiar untuk melemahkan parti.

"Di peringkat negeri adalah mustahak untuk menggambarkan PKR masih kukuh. Dengan kenyataan ini diharapkan tiada lagi kekeliruan, salah faham atau wujudnya pihak yang cuba memggambarkan PKR ada masalah,” tegasnya.