Wan Ji lapor Suhakam insiden pukul di penjara

Iklan
Wan Ji menunjukkan bagaimana dia dipukul baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk melakukan siasatan terperinci berhubung insiden dia dipukul ketika ditahan di Penjara Kajang pada 9 Julai lalu.

Menurutnya, tujuan dia membawa perkara itu kepada Suhakam bukan untuk membesar-besarkan cerita tentang apa yang berlaku kepada dirinya tetapi lebih kepada untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

Iklan
Iklan

"Saya tidak mahu apa yang berlaku kepada saya, dilakukan pula terhadap banduan atau tahanan lain yang menjalani hukuman di penjara.

"Dalam insiden itu saya dipukul sebanyak tiga kali di bahagian belakang telinga, memang sakit dan bergegar kepala tapi tidaklah sampai memerlukan rawatan susulan di hospital.

Iklan

"Tapi sebagai seorang manusia saya tak fikir pelaku (warden yag pukul) itu harus dibuang kerja, cukuplah sekadar dikenakan tindakan tatatertib, diberi nasihat atau amaran agar tidak mengulangi perbuatan tersebut," katanya kepada pemberita.

Wan ji (tiga dari kanan) bersama Sevan (dua dari kanan) menyerahkan memorandum aduan kepada Madeline (dua dari kiri) di Ibu Pejabat Suhakam, di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Ji hadir bersama Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy menyerahkan memorandum aduan kepada Pesuruhjaya Suhakam, Dr Madeline Berma di Ibu Pejabat Suhakam, di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, beliau berharap menerusi siasatan Suhakam nanti, perkara berkaitan sikap warden atau petugas di penjara ini dapat ditumpukan untuk ditambahbaik.

"Bukan semua warden penjara ini tidak baik... ada ramai yang baik, mungkin satu dua sahaja yang bermasalah seperti suka buat provokasi, bersikap perkauman dan mengasari tahanan.

"Kami cuma minta hak kami untuk dilayan seperti seorang manusia," katanya memberitahu perkara sama juga sedang disasat oleh pihak penjara.

Katanya, beliau bersama Suaram turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkaitan perkara itu susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyarankannya untuk membuat laporan polis jika mahukan pembelaan ekoran dakwaan kejadian pukul tersebut.

Wan Ji (tengah) bersama Sevan (kanan) menerangkan kepada pihak Suhakam ketika sesi aduan di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Sementara itu, Madeline berkata, pihaknya akan menyiasat aduan Wan Ji mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh aduan diterima.

"Ia adalah tanggungjawab kami untuk menyiasat mana-mana aduan diterima.

"Saya percaya kes ini bukan yang pertama dan dengan aduan yang dibuat Wan Ji iaitu 'orang dikenali', akan dapat memberi pembelaan kepada tahanan lain yang mungkin mengalami perkara sama tapi suara mereka tidak didengari sebelum ini," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, siasatan berhubung kes pukul Wan Ji kini di peringkat akhir siasatan dan pegawai yang terlibat bakal berdepan dengan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja sekiranya dakwaan itu benar.

Sebelum itu, Wan Ji mendedahkan dia dipukul sebanyak tiga kali sehingga terjatuh oleh seorang lelaki yang memakai baju warden dan menutup mulut ketika dalam tahanan di penjara tersebut.