KUANTAN - Polis mengesan taktik menyembunyikan dadah di dalam tayar ganti selepas dua lelaki ditahan ketika serbuan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini Selasa lalu.
Taktik itu digunakan dua lelaki berusia 23 dan 24 tahun dipercayai ahli sindiket berkenaan untuk menyorokkan dadah disyaki jenis heroin, syabu dan ganja seberat lebih 4,685 gram bernilai RM72, 501
Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dadah yang disembunyikan itu ditemui di bahagian but kereta jenis Proton Perdana milik salah seorang suspek.
"Selain dadah turut dirampas sebuah kereta Perodua Axia, Proton Perdana dan wang tunai sebanyak RM4,000 dengan nilai keseluruhan RM121,501.
"Ketika siasatan, salah seorang suspek mengaku mengedar dadah dan mendapat bekalan dari Kota Tinggi, Johor dan dipercayai untuk dipasarkan di Kuantan dan kawasan Felda berhampiran," katanya.
Menurutnya, berdasarkan ujian urin kedua-dua suspek positif dadah dan hasil semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau
"Mereka mendapat perintah tahanan reman seminggu mulai 17 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, dua lelaki berusia 30 dan 39 tahun turut ditahan di Chenor kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah.
"Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Maran menahan dua suspek di sebuah pondok di dalam ladang kelapa sawit selain merampas dadah bernilai kira-kira RM3,201 dan selaras senapang patah buatan sendiri.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.