Jadikan rumah rakan tempat edar dadah

Iklan
Chee Khoon (kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.

SUNGAI BESAR - Suspek lelaki yang amat dikehendaki polis kerana memiliki jenayah termasuk kesalahan narkotik akhirnya berjaya dicekup di Parit 10 1/2 Timur, di sini semalam.

Suspek berumur 35 tahun yang merupakan seorang buruh kampung dan turut menjadikan rumah rakannya sebagai tempat pengedaran dadah itu ditahan sepasukan polis diketuai Inspektor Muhamad Norizan Ramli bersama anggotanya di pekarangan rumah berkenaan dalam kejadian jam 2.30 pagi.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, dalam serbuan yang dilakukan berdasarkan risikan dan aduan awam itu, polis menjumpai empat peket plastik lut sinar dan di dalamnya mengandungi ketulan heroin seberat 15.15 gram bernilai RM450.

"Dadah itu ditemui dalam beg pinggang yang dipakai suspek ketika lelaki itu diberkas," katanya sambil memberitahu hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morphine.

Iklan

Katanya, siasatan awal polis turut mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah jenis heroin dari Perak dan menjualnya semula kepada penagih sekitar Sungai Besar.

Sementara itu, pihaknya turut mengesan seorang rakannya yang juga penghuni rumah terbabit berkemungkinan terlibat sama dalam aktiviti pengedaran dadah.

Iklan

"Polis percaya dadah seberat tiga gram ini dibungkus dalam plastik lut sinar dijual kepada penagih pada harga kira-kira RM100.

"Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.