ANGGAPAN mengatakan produk elektronik dari China tidak berkualiti tinggi mungkin tidak akan hilang dalam minda rakyat Malaysia.
Apa saja produk yang berlabel Made In China dianggap tidak mempunyai kualiti sempurna jika dibandingkan dengan barangan buatan negara lain terutama dari Barat.
Pun begitu, tidak semua produk dari China perlu dianggap ‘koman‘ atau cepat rosak. Star Wheels Electronic Sdn Bhd (Star Wheels) rasanya mampu menolak persepsi itu selepas ini. Buktinya, syarikat mobiliti elektronik tempatan tersebut pernah memenangi beberapa anugerah.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eric Lee berkata, pihaknya baru sahaja melancarkan rangkaian skuter elektroniknya di ibu negara dan merancang menambah lagi barisan produknya. Star Wheels ialah hasil ideanya.
Ujar beliau, produk terbaharu itu merupakan perintis kepada pengenalan produk e-mobile di Malaysia. Ia membolehkan pengguna urban daripada golongan profesional hingga pencinta gajet merasai kualiti terbaik motosikal elektrik, skuter dan hoverboard (skuter imbangi diri) di pasaran.
"Ketika hoverboard mula menjadi salah satu trend satu ketika dulu, saya mendapat idea bagaimana untuk ‘menggodam’ produk tersebut. Saya mencari jalan untuk menjadikannya sesuai, tahan lasak dan selamat untuk trafik serta keadaan jalan raya di Malaysia,” kata Eric.
Bagi tujuan itu, beliau melakukan 'bedah siasat' terhadap tiga hoverboard pertama yang dibelinya.
Perkara pertama yang dilakukannya adalah menceraikan gajet tersebut bagi memahami, menyelidik dan membangunkan semula mekanikal.
Penciptaan semula
Pada tahun 2018, bakat dan kepakaran Eric di dalam gajet elektronik terserlah.
Beliau telah melancarkan barisan skuter elektriknya sendiri dan motosikal elektrik dengan meletakkan tahap keselamatan yang tinggi untuk penggunanya.
Star Wheels terus melihat ke hadapan. Penawaran produknya diperluaskan termasuklah beberapa model kapasiti besar motosikal dan skuter menjelang akhir tahun 2019.
Di samping itu, pihaknya menambah bilangan pengedar dan pusat servis bagi memenuhi permintaan yang tinggi untuk model baharu pengangkutan urban itu.
Berikut ialah rangkaian produk Star Wheels:
STARTRON DEMON
Dikatakan skuter terpantas di Malaysia. Dikuasakan dengan motor berkembar dengan kuasa mampan 5,600 watt (W) dan 68 voltan (V) super caj tanpa sebarang kelewatan. Jentera itu mampu bergerak pada kuasa sebenar 6,100W.
Ciri-ciri lain ialah paparan skrin LCD dengan tripmeter dan meter kelajuan.
Suspensi berkembar hidraulik, kawalan auto cruise, mod pemanduan seperti turbo, sistem penggera terbina untuk antikecurian dan port pengecas USB untuk telefon selular serta gajet antara tersedia.
Caj penuh membolehkan ia bergerak sehingga 80 kilometer (km) dengan kelajuan sehingga 110km per jam (j).
STARTRON MEGA
Didakwa sebagai skuter elektrik terpantas di Malaysia. Starton Mega dikuasakan oleh motor berkembar pada kuasa sebenar 3,200W dan 60V supercaj tanpa sebarang kelewatan sifar.
Terdapat skrin paparan LCD dengan tripmeter dan meter kelajuan, kawalan autocruise, sistem penggera terbina supaya antikecurian dan port pengecas USB sama seperti pada Startron Demon.
STARTRON MINI
Ia juga dikenali sebagai 'Raksasa Kecil'. Dikuasakan dengan motor berkembar dengan kuasa sebenar 2,400W dan 52V caj super dengan berat 28kg, ia mudah dilipat dan mudah alih.
Seperti ciri-ciri maju yang ada pada Startron Mega, cas penuh 'si comel' itu membolehkan ia bergerak sehingga 70km dengan kelajuan sehingga 65km/j.
STAR HOPPER HYBRID
Dengan berat 15kg, ia merupakan skuter hibrid pertama di Malaysia yang memberi pilihan sama ada untuk menunggang dengan kuasa elektrik penuh, berkayuh atau kedua-duanya sekali.
Kuasa hibridnya menerusi kuasa pecutan 12 inci roda belakang. Ciri-cirinya termasuk brek cakera depan belakang. Hendalnya boleh dilipat, butang hon terbina, skrin paparan LED dan lampu utama serta brek LED tersedia. Mod elektrik membolehkan ia bergerak sejauh 30 hingga 40km manakala mod hibrid mampu bergerak sehingga 70km.
STAR ORBIT
Direka untuk kegunaan kasual dengan keselesaan tempat duduk untuk perjalanan jauh. Star Orbit memiliki kuasa motor 36V 350W, merupakan yang tertinggi di pasaran.
Dengan berat 13kg, Orbit didatangkan dengan pecutan roda belakang berukuran 12 inci, bateri lithium ion dengan kapasiti 8.8Mah.
STAR LIGHT
Model itu direka khusus sebagai permulaan ke arah dunia skuter elektrik. Dengan berat 7kg dan kelajuan maksimum antara 20 hingga 25km/j, Star Light amat sesuai untuk digunakan di semua peringkat umur. Anda boleh mencuba berulang alik menggunakan LRT dan MRT. Caj penuh membolehkan ia bergerak sejauh 15km hingga 25km.
STAR CRUZ
Didatangkan dengan kuasa motor 26V 250W dengan pecutan roda belakang besaiz 5.5 inci dengan berat 8kg, model itu memiliki klip mudah lipat.
Selain itu, terdapat tripmeter dan spidometer, paparan skrin LCD, brek depan EBS, brek belakang mekanikal, lampu utama LED. Ia mampu memecut sehingga 30 km/j.
STAR SPEED
Dilengkapi suspensi tork berkuasa tinggi, Star Speed model skuter yang telah memenangi anugerah. Model itu dilengkapi motor berkuasa 36V 350W, pecutan roda depan bersaiz 8.5 inci dengan berat 12kg.
Sama seperti model lain, Star Speed juga dibina dengan hendal boleh lipat, ketinggian hendal boleh ubah, tripmeter, spidometer, skrin paparan LED, kawalan auto cruise, lampu utama dan lampu belakang LED serta hon.
Peluang uji
Sinar Turbo sendiri berpeluang menguji dua jentera e-bike dua roda keluarga Star Wheels iaitu Star Orbit dan Star Light.
Kesempatan penulis mencubanya sepanjang dua minggu memberikan pengalaman cukup berbeza. Berbekalkan panduan ringkas daripada Eric sendiri, penulis berjaya menguasai teknik menunggang dalam tempoh hanya beberapa minit. Ternyata ia mudah dikendali dan mesra pengguna.
Bagi penulis, Star Orbit lebih mudah diimbangkan berbanding Star Light. Apabila bergerak, ia seperti mana kita mengimbangkan badan ketika menunggang basikal. Pun begitu, penting memastikan badan ditegakkan untuk memberikan kawalan yang lebih baik dan imbangan badan yang sempurna.
Pengendalian Star Orbit bagi penulis sememangnya hampir 90 peratus seakan menunggang motosikal. Apalagi pendikit di sebelah kanan pemegang hendal perlu digunakan.
Sementara untuk menggerakkan Star Light agak berbeza. Penulis terpaksa menekan picu penekan yang berfungsi sebagai pendikit dengan menggunakan ibu jari kanan.
Untuk memberhentikannya, picu penekan terdapat pada bahagian kiri hendal. Agak rumit pada mulanya, tetapi lama-kelamaan cepat biasa.
Pesan penulis, jangan lupa memakai pad pelindung lutut, tangan, siku dan helmet. Utamakan keselamatan dengan tidak menggunakan e-bike di kawasan jalan raya, bangunan tinggi dan terlalu sesak dengan orang ramai.
Bagi penulis, sasaran 100,000 unit kenderaan elektrik untuk berada di jalan raya negara menjelang tahun 2020 oleh pihak kerajaan sangat relevan.
Mungkin satu hari nanti penggunaan e-bike dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi satu keperluan dan bukan lagi kemahuan.
ANEKDOT
- STAR Wheels Electronic:Memenangi Anugerah Bintang Paling Meningkat, bersaing dengan enam lagi syarikat di Asia di Anugerah Automotive Asia 2019, baru-baru ini.
- Beribu pejabat di Setia Alam Selangor. Pusat servisnya pula terletak di Setia Alam, Subang Jaya dan Puchong Gateway dengan lebih 10 cawangan dan penjual di seluruh negara.
- Untuk keterangan lanjut, anda boleh layari www.StarWheelsElectronic.com.