Tak tahan perangai isteri, lelaki terjatuh feri

Iklan
Seorang lelaki berasal dari Puchong, Selangor terjatuh dari feri malam semalam namun berjaya diselamatkan pasukan bantuan dan penyelamat.

BUTTERWORTH - Disebabkan tidak tahan dengan perangai isteri yang suka mengawal dan mengongkong menyebabkan seorang lelaki bertindak membawa diri ke negeri ini sebelum dilaporkan terjatuh daripada sebuah feri malam semalam.

Dalam kejadian jam 7.22 malam, lelaki yang berasal dari Puchong, Kuala Lumpur itu dikatakan datang ke negeri ini dengan menaiki bas sebelum meneruskan perjalanan ke Georgetown menaiki sebuah feri.

Iklan
Iklan

Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun itu tidak turun dan berada di feri sama yang kemudian berpatah balik ke Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebaik tiba di perairan Butterworth, lelaki berkenaan dikatakan terjatuh dari bahagian belakang tingkat atas feri terbabit.

Iklan

Menurutnya, kejadian itu disaksikan beberapa penumpang lain serta krew feri dan keapten feri berkenaan sebelum bertindak menghubungi menara kawalan perlabuhan bagi memaklumkan kejadian.

"Tindakan pantas pasukan bantuan dan penyelamat berjaya menemui lelaki terbabit dalam keadaan selamat.

Iklan

"Dia dikejarkan ke Hospital Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan kecemasan," katanya ketika dihubung di sini.

Noorzainy berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan mangsa tidak tahan dengan tekanan hal keluarga dan isterinya yang sering bergaduh.

Katanya, mereka telah berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai 2 orang anak berumur 8 tahun dan 5 tahun.

"Dia tertekan dengan sikap isteri yang terlalu mengawal dan mengongkong. Tambahan pula masalah perniagaan mangsa yang tidak lancar serta mengalami masalah kewangan.

"Pegawai perubatan Hospital Kepala Batas telah membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati dia stabil namun mengesyorkan kepada lelaki itu agar mendapatkan rawatan psikatri selepas ini," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh diri.