Dua pelajar hilang ditemui selamat

Iklan
MUHAMMAD ZIKRULLAH SYAH

BESUT- Dua pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah agama persendirian di Kampung Tok Has di sini yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas ditemui selamat di Kota Bharu, Kelantan pagi tadi.

Pelajar Kompleks Pendidikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (KODIM) terbabit, Muhammad Zikrullah Syah Azzril@Rusli dan rakannya Mohamad Zahari Azwa Mohd Zahir masing-masing berusia 15 tahun ditemui seorang peniaga kedai makan kira-kira jam 7.30 pagi.

Iklan
Iklan

Ibu Muhammad Zikrullah Syah, Wan Rozdiani Che Wan Hamzah, 44, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada jam 8 pagi ini memberitahu menemui anaknya dan Mohamad Zahari Azwa singgah makan di kedainya.

Menurutnya, selepas mengesahkan salah seorang remaja terbabit adalah anaknya, dia meminta bantuan kakak iparnya yang tinggal di Kota Bharu untuk mengambil mereka.

Iklan

"Saya tinggal di Kampung Bukit Peraksi, Pasir Putih, sudah tentu mengambil masa lama untuk sampai ke sana, jadi saya minta bantuan kakak ipar,” katanya ketika dihubungi tengah hari tadi.

Wan Rozdiani berkata, anaknya dan rakannya itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kota Bharu untuk memaklumkan penemuan mereka sebelum Mohamad Zahari Azwa diserahkan kepada pihak KODIM.

Iklan

"Saya dimaklumkan mereka ke Kota Bharu menaiki teksi dari Jertih ke Pasir Putih kemudian menaiki bas ke Kota Bharu," katanya.

Sementara itu menurut pihak KODIM, Mohamad Zahari Azwa diserahkan kepada penjaganya di Kampung Lay Out Tok Saboh, Kuala Besut sebaik dibawa pulang dari Kota Bharu pagi tadi.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai kehilangan dua remaja yang dipercayai keluar dari asrama KODIM selepas menunaikan solat Subuh.

Kehilangan mereka menimbulkan kegelisahan keluarga dan pihak KODIM kerana mereka keluar sehelai sepinggang tanpa membawa MyKad dan hanya berbekalkan wang RM15.

Punca dua pelajar itu melarikan diri dari asrama masih dalam siasatan pihak sekolah.