Video samun: Polis buru empat lelaki

Iklan
Perkongsian netizen di laman sosial memaparkan video samun Isnin lalu yang baru tular hari ini.

KOTA BHARU - Polis mengesahkan video kejadian samun kedai telefon bimbit yang tular di beberapa laman media sosial hari ini adalah kes beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian itu berlaku jam 9 malam pada 15 Julai lalu ketika seorang peniaga berusia 23 tahun berada sendirian di premis perniagaannya di Kampung Peringat dekat sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa didatangi empat suspek lelaki yang melompat masuk ke kaunter premis kedainya dan mengacukan pisau serta parang kepada mangsa.

"Salah seorang suspek yang mengacukan pisau kepada mangsa mengarahkannya berdiam diri manakala tiga rakan suspek yang lain menggeledah dan mengambil kotak kosong yang mengandungi pengecas dan ‘earphone’ di kaunter pameran serta wang jualan RM90.

Iklan

"Keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM200. Bagaimanapun mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana mereka memakai topeng muka.

"Kenderaan Perodua Myvi berwarna gelap yang dinaiki suspek bersama seorang lagi pemandu yang menunggu di dalam kereta dipercayai menggunakan pendaftaran palsu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Abdul Rahim berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan semua suspek masih diteruskan.

Video tular yang berdurasi 1 minit 34 saat itu memaparkan seorang lelaki berada di kaunter kedai itu didatangi lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan pisau.

Suspek dipercayai menggunakan dialek Kelantan berdasarkan arahan suspek terhadap mangsa.

Modus operandi suspek adalah meronda sekitar kawasan premis perniagaan itu beberapa kali sebelum menerjah masuk dan menyamun kedai berkenaan.