Enam tokan dadah ditahan

Iklan
Muhd Nurhishamuddin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang anggota yang menerima kenaikan pangkat pada majlis tersebut.

JEMPOL- Enam individu yang juga tokan dadah berjaya ditahan polis dalam tempoh Januari hingga Jun selepas dikenal pasti aktif dalam pengedaran dadah terutamanya di kawasan penempatan Felda di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, penahanan suspek lelaki berumur 30 hingga 40 tahun adalah di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas)1995.

Iklan
Iklan

"Mereka dikenakan tindakan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak selama dua tahun.

"Tindakan pencegahan menerusi akta tersebut diharap dapat memberi kesan positif ke atas aktiviti pengedaran dadah di kawasan Felda secara amnya," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Jempol di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol hari ini.

Iklan

Muhd Nurhishamuddin berkata, berdasarkan rekod 2018, seramai 396 warga Felda ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

"Daripada jumlah itu 161 orang ditangkap bagi kesalahan bekalan dan memiliki dadah. Sementara 235 orang lagi ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 195 atas kesalahan menggunakan dadah.

Iklan

"Bagi tempoh Januari hingga Jun 2019, seramai 182 warga Felda ditangkap juga atas kesalahan berkaitan dadah, 57 daripadanya ditahan atas kesalahan bekalan dan memiliki dadah sementara 125 orang ditahan kerana menggunakan dadah berikutan urin positif dadah," katanya.

Muhd Nurhishamuddin (empat dari kiri) bersama sebahagian penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018.

Muhd Nurhishamuddin berkata, polis IPD Jempol sentiasa mengambil tindakan tegas yang berterusan ke atas kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan Felda.

"Daerah Jempol mempunyai 36 gugusan Felda berpenghuni dan kesemua penempatan Felda ini dilihat menghadapi risiko aktiviti dadah yang tinggi dan perlu dibanteras," katanya.

Sementara itu katanya, sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2018, seramai 832 orang ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah, bagaimana pun angka tersebut dilihat menurun sebanyak 89 orang atau 10 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2017 yang mencatatkan tangkapan seramai 921 orang.

Terdahulu, Muhd Nurhishamuddin memakaikan pangkat kepada 13 anggota polis IPD Jempol membabitkan dua orang pangkat Sarjan kepada Sarjan Mejar dan selebihnya pangkat Koperal kepada Sarjan.